BAJET 2012: BAHAGIAN INI RAMAI YANG TIDAK SETUJU.

>> 08 October 2011


Alhamdulillah. Pembentangan bajet 2012 petang semalam benar-benar banyak memberikan manfaat kepada rakyat. Akhirnya kerajaan lebih prihatin dalam memberikan pembangunan kepada negara dan rakyat. Keadaan ini dilihat jauh berbeza dengan bajet yang dibentangkan pada zaman Pak Lah dahulu.

Dalam banyak-banyak pembentangan, saya kurang bersetuju dengan satu sahaja perkara yang dibentangkan. Perkara itu ialah mengenai kenaikan umur wajib bersara  penjawat awam daripada 58 tahun kepada 60 tahun.

Isu kenaikan umur pesara ini sememangnya isu kontroversi. Pada awal tahun ini di Perancis, ratusan ribu anak muda mengadakan demonstrasi bantahan di Paris kerana kerajaan Perancis menaikkan tahap umur wajib bersara dari 58 tahun ke 60 tahun. Di waktu itu anak muda ini bertindak liar dengan membakar bangunan dan membaling sampah ke bangunan kerajaan. Semuanya gara-gara sedikit kesilapan kecil yang dilakukan semasa pembentangan bajet negara Perancis 2011/12.

Seharusnya kerajaan mengambil iktibar dari perkara ini. Anak muda yang masih banyak menganggur sepatutnya diberikan peluang pekerjaan. Sekiranya tahap umur pesara dinaikkan, ini secara tidak langsung akan meningkatkan tahap pengangguran.

Jangan dilupa mengenai angka bilangan anak muda yang tamat belajar di institusi pengajian tinggi pada setiap tahun. Jumlah mereka ini beribu-ribu. Bagaimana nasib anak muda ini yang peluang mereka untuk menjawat jawatan di institusi kerajaan yang semakin tertutup? Dalam waktu itu mereka turut menanggung hutang kerana membiayai pengajian mereka. Bagaimana nasib mereka ini? Sudahlah perlu membayar hutang pengajian, peluang pekerjaan pula semakin tertutup. Tidak bersimpatikah kerajaan terhadap nasib ribuan anak muda ini?

Dan lagi satu, cukup-cukuplah wahai penjawat awam. Anda telah diberikan peluang untuk menjawat jawatan dalam kerajaan. Berilah peluang kepada orang lain. Janganlah terlalu tamak sehinggakan nasib generasi muda terumbang-ambing. Tidak cukupkah selama ini penjawat awam diberikan tempoh berkhidmat selama lebih 20 tahun? Dalam tempoh 20 tahun itu penjawat awam ini masih tidak mendapat apa-apa manfaatkah dari pekerjaan mereka seperti rumah, wang simpanan hari tua dan kereta?

Difahamkan bahawa tuntutan kenaikan umur pesara ini diminta oleh Cuepecs. Cuepecs juga sepatutnya sedar akan tuntutan mereka terhadap kerajaan. Janganlah melampau sangat dalam meminta sesuatu. Sebelum ini tempoh kenaikan umur wajib bersara telah dinaikkan dari 55 tahun ke 58 tahun. Tidak cukupkah dengan pemberian kerajaan itu? Mengapa masih tamak lagi?

Saya berharap agar kerajaan segera mengkaji perkara ini supaya tidak memberikan satu lagi peluru hidup kepada pembangkang untuk menghentam kerajaan.

0 comments:

Post a Comment





  © Blogger template Webnolia by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP