HASAN ALI: PEMIMPIN PAKATAN SELANGOR PENGGIAT MAKSIAT

>> 19 February 2012


KUALA LUMPUR: Bekas Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Ali berkata, ada pemimpin kerajaan Selangor termasuk daripada PAS sendiri menerima perbuatan maksiat oleh umat Islam sebagai satu cabang hak asasi manusia.

Beliau berkata, dalam tempoh lebih tiga tahun menjadi EXCO menjaga hal ehwal Islam kerajaan Selangor, beliau cuba menegakkan Islam melalui peruntukan enakmen syariah negeri terhadap orang Islam tetapi mendapat bantahan kuat DAP dan PKR yang bersama PAS membentuk kerajaan negeri.

“Mereka memberi alasan apa yang saya buat bertentangan dengan prinsip hak asasi, kebebasan untuk buat pilihan dan ada menyatakan apa salahnya siang-siang sudah teruk bekerja dan biarlah malam dia melakukan sesuatu yang melegakan dengan girlfriend,” katanya semasa ditemuramah dalam program bual bicara Helo Malaysia BernamaTV di saluran 502 Astro, malam tadi.

Sesi selama satu jam itu dikendalikan bersama Timbalan Ketua Pengarang BERNAMA, Datuk Zulkefli Salleh dan kolumnis ‘Cuit’ Utusan Malaysia, Datuk Zaini Hassan yang juga Penolong Ketua Pengarang akhbar itu.

Ditanya tidakkah beliau mendapat sokongan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam urusan Islam, Hasan berkata: “Saya tidak boleh letakkan percentage (peratus) pada ketua saya, tetapi yang saya boleh katakan dalam hal itu saya tidak dapat sokongan padu daripada atas dan teman EXCO yang lain. Bila hal Islam, memang banyak halangan”.

Saya digugurkan bukan kerana salah guna kuasa, tidak bermoral, minum atau liwat tetapi saya dipecat kerana hendak tegakkan Islam, martabatkan Melayu dan nak tegakkan institusi raja.
 
“Jika Putrajaya jatuh ke tangan golongan parasit itu, negara Islam tidak akan dapat ditegakkan kerana ini sudah dibuktikan di Selangor,” katanya.

Hasan berkata, dalam kerajaan PAS Kelantan juga wujud parasit yang dekat dengan Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

“Takkan (Presiden PAS, Datuk Seri Abdul) Hadi Awang dan Nik Aziz tidak layak jadi Perdana Menteri? Takkan pasal pakai kopiah tidak boleh jadi Perdana Menteri sedangkan ada banyak pemimpin luar tidak fasih berbahasa Inggeris. 

China jadi kuasa ekonomi dalam dunia walaupun tidak pandai cakap orang putih,” katanya. – BERNAMA

0 comments:

Post a Comment





  © Blogger template Webnolia by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP