PERANG PAS VS ANWARINAS

>> 28 February 2012


ALOR SETAR 27 Feb. – Usaha golongan ‘Anwarinas’ untuk menggugat kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak tidak tercapai apabila lapan penyandang Exco bersetuju dilantik semula sebagai Exco dan akan menghadiri majlis pelantikan di Istana Anak Bukit, esok.

Mereka yang menerima surat tawaran dilantik semula sebagai Exco antara pukul 12 tengah hari hingga 3 petang hari ini, turut menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan Azizan.

Exco-exco yang dijadual mengangkat sumpah adalah Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pelajaran, Datuk Mohamed Taulan Rasul; Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan dan Industri, Datuk Ir. Amiruddin Hamzah dan Pengerusi Jawatankuasa Penerangan dan Pembangunan Usahawan, Abd. Ghani Ahmad serta Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan Masyarakat, Datuk Siti Ashah Ghazali.

Selain itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian dan Warisan serta Kebudayaan, Datuk Dr. Hamdan Mohamed Khalib, Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Pengangkutan Tan Chow Kang; Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Perpaduan dan Pengurusan Sumber Manusia, Lim Soo Nee dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Hal Ehwal Masyarakat Siam, Datuk S. Manikumar turut dijangka hadir pada majlis itu.

Baru-baru ini, Exco kanan, Datuk Phahrolrazi Zawawi dan penyandang Exco, Dr. Ismail Salleh menghantar surat kepada Azizan untuk menolak cadangan pelantikan sebagai Exco.

Walaupun nama Amiruddin, Siti Ashah dan Dr. Hamdan turut dikaitkan untuk turut mengikuti jejak langkah Phahrolrazi dan Dr. Ismail bagi menggugat kepimpinan Azizan, namun ketiga-tiga mereka menafikannya.

Pada sesi raptai majlis pelantikan hari ini, tiga daripada lapan Exco yang dilantik tidak hadir iaitu Siti Ashah, Dr. Hamdan dan Manikumar.

Lima penyandang Exco yang hadir pada majlis raptai pada pukul 9 pagi itu ialah Mohamed Taulan, Amiruddin, Abd. Ghani, Chow Kang dan Soo Nee.

Menurut Dr. Hamdan, beliau tidak dapat hadir ke majlis raptai itu kerana baru sahaja pulang hari ini setelah berada di Bangkok dan Kuala Lumpur atas urusan kerja.

“Jangan risau esok saya ada di sana. Raptai majlis pelantikan Exco pada 2009 dan 2010 pun saya tak pergi walaupun tahu cara majlis tersebut berlangsung,” jelasnya.

Siti Ashah pula berkata, beliau mempunyai tugas di kawasan tetapi memberi jaminan akan hadir untuk mengangkat sumpah esok.

“Saya mesti terima tawaran yang telah diberikan ini,” jelasnya.

Amiruddin berkata, beliau akan hadir ke majlis pelantikan tersebut dan bersedia menerima apa sahaja portfolio yang diamanahkan oleh Azizan.

Dalam itu, Mohamed Taulan berkata, sebagai orang parti para pemimpin Pas perlu taat dan setia kepada pucuk pimpinan serta akur dengan sebarang keputusan yang dibuat oleh pemimpin parti.

“Sesiapa yang masuk dalam dunia politik memang impian dia nak jadi Perdana Menteri, Menteri Besar ataupun Menteri. Tetapi jangan lupa kita kena akur kepada takdir yang telah ditentukan oleh Allah,” katanya.

Nada yang sama disuarakan oleh Abd. Ghani, Soo Nee dan Chow Kang yang turut mengesahkan kehadiran pada majlis pelantikan Exco esok.

Manikumar yang mengesahkan akan hadir menjelaskan, beliau tidak dapat hadir ke majlis raptai hari ini.

Kerajaan Pas Kedah mempunyai 10 Exco, bagaimanapun pelantikan esok hanya melibatkan lapan Exco manakala dua lagi Exco dijangka dilantik selepas 7 Mac ini. - Utusan Malaysia

0 comments:

Post a Comment





  © Blogger template Webnolia by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP