TIAN CHUAN DIARAH BELA DIRI

>> 29 October 2012


KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Batu, Tian Chua diperintah membela diri oleh Mahkamah Sesyen di sini terhadap pertuduhan tidak mematuhi perintah polis di kawasan Pusat Latihan Polis Diraja Malaysia (Pulapol), sehari selepas perhimpunan Bersih 3.0 April lalu.

Hakim Mahmud Abdullah semasa mengumumkan keputusan itu berkata, beliau membuat perintah tersebut mengikut prinsip undang-undang yang telah digariskan, setelah menilai secara maksimum hujah pihak pendakwa dan pembela.

Mahmud berkata, mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya menimbulkan kes prima facie.

"Mahkamah berhasrat untuk memanggil tertuduh untuk membela diri terhadap tuduhan yang dihadapi," katanya.

Tian Chua, 49, didakwa melanggar perintah yang dikeluarkan oleh DSP A. Rajakopal untuk beredar dari kawasan Pulapol itu yang diisytiharkan sebagai satu kawasan larangan mengikut perintah kawasan-kawasan larangan 1975.

Beliau yang juga Naib Presiden PKR didakwa melakukan kesalahan berkenaan di Pulapol, Jalan Semarak pada 2.30 pagi, 29 April lepas.

Perhimpunan Bersih 3.0 diadakan pada 28 April.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(2) Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 7 akta sama, yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Sepanjang perbicaraan yang bermula 23 Julai lalu, seramai sembilan saksi dipanggil untuk memberi keterangan termasuk Rajakopal.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dasuki Mokhtar dan Amirah Mohamed Yusoff manakala tertyuduh diwakili Latheefa Koya.

Mahkamah menetapkan 29 dan 30 November ini untuk memulakan perbicaraan bagi prosiding membela diri. - Sinar Harian

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Webnolia by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP