SHAHNON AHMAD: KERJASAMA PAS DAN DAP BERCANGGAH KEHENDAK ISLAM

>> 08 October 2012


GEORGETOWN 8 Okt. - Perjuangan politik Pas kini tidak lagi menepati kehendak Islam apabila parti itu bekerjasama dengan DAP, kata Sasterawan Negara Prof Emeritus Datuk Dr Shahnon Ahmad.

Beliau berkata apa yang dilakukan oleh Pas sekarang ialah hanya menuruti kehendak politik DAP dan pendekatan seumpama itu bercanggah dengan kehendak Islam kerana Pas sepatutnya memimpin dalam memperjuang Islam.

Shahnon yang juga anggota Pas seumur hidup berkata, adalah sangat menyedihkan kerana kerjasama Pas dengan DAP itu bukan seperti yang diharapkan dan ia bercanggah dengan pendekatan yang diambil Rasulullah S.A.W ketika memerintah dan bekerjasama dengan golongan bukan beragama Islam.

"Sepatutnya DAP tertakluk kepada peraturan Islam kalau mereka hendak bekerjasama dengan Pas," katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau yang juga bekas anggota Parlimen Sik berkata dasar Pas sekarang tersasar daripada perjuangan asalnya apabila terpaksa menuruti kehendak DAP.

DAP sebelum ini telah menyatakan tidak akan menyokong penubuhan negara Islam di negara ini seperti yang dimahukan Pas.

Shahnon yang pernah bertugas sebagai Pengarah Pusat Islam Universiti Sains Malaysia (USM) berkata pendekatan Rasulullah SAW bekerjasama dengan kaum Yahudi, Kristian dan munafik bukanlah seperti kerjasama Pas dan DAP sekarang kerana ketika itu Islam yang memerintah dan memimpin kaum-kaum berkenaan. - BERNAMA

1 comments:

Anonymous,  October 8, 2012 at 11:28 PM  

Masih hidup si-"syaitan" ni.

Post a Comment

  © Blogger template Webnolia by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP