NIK AZIZ: SAYA TIDAK AKAN BERUNDUR!

>> 31 October 2012


KOTA BHARU: Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini menegaskan beliau tidak berganjak dengan pendiriannya untuk terus memegang jawatan Menteri Besar Kelantan sekarang, meskipun didesak dari mana-mana pihak.

Bagaimanapun, Nik Aziz hanya akan berbuat demikian (melepas jawatan MB) jika desakan itu datangnya dari PAS sendiri.

Katanya, sebagai ketua kerajaan dan Menteri Besar beliau boleh menyerahkan tanggungjawab mengurus dan mentadbir kerajaan kepada pegawai di bawah asalkan minda cergas.

"Setiap ketua ada orang di bawahnya, jadi kita boleh menyerahkan tanggungjawab menguruskan kerja-kerja (tadbir) kepada orang di bawah walaupun saya uzur fizikal.

"Sihat atau tidak inilah saya...nak lawan Umno bukan perlu ada pada tubuh sihat tapi perlu pada otak betul," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Inovasi Peringkat Negeri Kelantan, di sini hari ini.

Nik Abdul Aziz berkata, beliau yakin minda dan otaknya masih cergas walaupun dari segi lahirnya kelihatan uzur atas faktor usia.

"Saya tidak akan layan desakan daripada mana-mana pihak supaya saya lepaskan jawatan lebih-lebih lagi dari 'pemimpin buangan', kecuali dari parti (Pas)sendiri," katanya ketika ditanya mengenai pendapatnya berhubung desakan pemimpin parti politik yang mahu beliau melepaskan jawatan kerana masalah kesihatan.

Semalam, Presiden PERKASA, Datuk Ibrahim Ali, menggesa Nik Abdul Aziz supaya melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar memandangkan beliau 'gagal mentadbir negeri ini kerana telah uzur dan kesihatannya sentiasa terganggu'.

Sementara itu Nik Abdul Aziz menyambut baik saranan Ibrahim supaya kerajaan negeri menubuhkan suruhanjaya bebas bagi menangani isu yang dikatakan wujud penyelewengan dalam pembangunan Lembah Sireh yang melibatkan pelabur asing.

Semalam, Pemuda Umno Kelantan dan Orang Muda Berpadu Anti Korupsi (OMBAK) membuat laporan menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan menyeluruh terhadap projek Lembah Sireh.

Projek itu yang melibatkan pembangunan dan pengindahan tebing Sungai Kelantan yang bernilai RM2 bilion meliputi kawasan 400 hektar secara pajakan selama 99 tahun dipersoalkan selepas didedahkan dalam laporan Ketua Audit Negara 2011.

"Kita (kerajaan negeri) sedia menerima apa saja bentuk suruhanjaya dalam menentukan ketelusan kerajaan negeri dalam melaksanakan sesuatu projek di negeri ini,...tak ada apa, tubuhlah," kata Nik Abdul Aziz. - antarapos

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Webnolia by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP