DR RIDHUAN TEE BERI PERINGATAN KEPADA MCA

>> 29 October 2012


Pada minggu lalu, seorang pemimpin parti ultra kiasu mengeluarkan kenyataan bahawa pendidikan berasaskan bahasa ibunda atau sekolah vernakular bukanlah punca kepada polarisasi.

Beberapa polisi kerajaan sedia ada, merujuk kepada hak istimewa orang Melayu dan DEB, menjadi punca polarisasi seperti kemudahan pemberian lesen dan bantuan biasiswa. Kenyataan ini keluar sejurus selepas senator Melayu ultra kiasu mengeluarkan kenyataan sekolah agama punca kepada polarisasi.

Lebih memeranjatkan lagi, resolusi perhimpunan agung parti ini mendesak kerajaan supaya 
i) mencinakan lagi SMKJC Chong Hwa Kuantan, tidak lama lagi di Segamat. 
ii) mengekalkan silibus Bahasa Melayu (BM) di SJKC yang selama ini begitu mudah berbanding sekolah kebangsaan, 
iii) mahukan kursus vokasional diajar dalam bahasa ibunda (Cina), 
iv) menaik taraf Kolej Tunku Abdul Rahman menjadi kolej universiti. 
v) penggunaan pelbagai bahasa dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah, bukan BM sahaja, makna turut menggunakan bahasa Cina dan berbagai lagi tuntutan lain. 

Ternyata, resolusi begitu ultra kiasu, terus mementingkan bangsa berbanding agenda negara.

Ketika merasmikan perhimpunan itu, Perdana Menteri (PM) turut mengumumkan peruntukan RM30 juta kepada 78 SMJKC seluruh negara. Sudah pasti ia akan menjadi peruntukan tahunan. Kayalah nampaknya SMJKC; derma datang mencurah-curah. Saya bukan dengki, tetapi sedih melihat sekolah agama.

Ya, saya tidak nafikan sumbangan sekolah vernakular dalam pembangunan, tetapi tidakkah kita perlu melihat sama aspek negatif, seperti niat murni PM mahukan ultra kiasu menguasai bahasa Melayu dengan baik.

Malangnya, isu penguasaan BM langsung tidak dibincangkan dalam perhimpunan tersebut, apatah lagi diresolusikan. Sungguh licik ultra kiasu ini. Dalam kepala mereka semuanya memperkasa dan memperkayakan bangsa.

Sebelum ini, pemimpin ultra kiasu ini mengeluarkan kenyataan menghina Islam dengan mengatakan 1.2 juta rakyat Malaysia hilang pekerjaan jika hudud Pas dilaksanakan. Dia juga kata negara yang mengamalkan hudud adalah antara yang paling korup. Ultra kiasu boleh memusuhi Pas, tetapi jangan sama sekali menghina Islam, kerana Islam itu mulia dan dilindungi perlembagaan.

Saya juga boleh menghina agama Buddha, Kristian, Hindu dan lain-lain, tetapi Islam tidak membenarkan. Kenapa ultra kiasu begitu biadab? Kerana kita takut kepada mereka, meletakkan undi segala-galanya, sedangkan mereka belum tentu mengundi kita. Kita yang terhegeh-hegeh. Pas pun sama. Nasihat saya kepada pemimpin ultra kiasu, jangan campur hal ehwal Islam.

Sejarah membuktikan, tanpa penguasaan bahasa pun, interaksi antara kerajaan China dengan Tanah Melayu begitu rancak sejak lebih 600 tahun lalu dan sebelum itu. Ketika itu, kerajaan Melaka telah mengamalkan undang-undang Islam.

Orang Melayu tidaklah pandai berbahasa Cina, tetapi sikap dan perangai orang Melayu yang begitu lunak berteraskan cara hidup Islam, menjadi faktor penarik kepada orang luar untuk berinteraksi, selain mendapatkan hasil bumi melimpah ruah. 

Ini menjadikan orang Cina datang berdagang terpaksa mempelajari BM untuk berinteraksi dengan alam Melayu. Di manakah hujah mengatakan kuasa China bangkit hari ini maka kita mesti menguasai bahasa Cina, termasuk memperbanyakkan sekolahnya? Yang perlu diubah hari ini ialah perangai dan sikap orang Melayu yang tidak yakin kepada kekuatan dan kehebatan diri sendiri. Inferioriti kompleks, memandang rendah cara hidup sendiri dan cara hidup Islam.

Sebenarnya kita telah diperbodohkan? Menjadi mangsa korban kerana terlalu banyak berkorban. Kuasa dan politik adalah segala-galanya. Mungkin kita boleh berseronok untuk jangka pendek, tetapi tidak jangka panjang. Pasti anak cucu-cicit kita akan merana.

Apakah tidak berlaku polarisasi jika sejak dari kecil kita dipisahkan dalam segala aspek. Apabila sampai ke peringkat menengah, mereka berasa janggal untuk berkomunikasi disebabkan masalah bahasa. Perkara ini terbawa-bawa hingga ke peringkat pengajian tinggi.

Kajian saya mengenai polarisasi di IPT, sudah jelas menunjukkan semua ini disebabkan pembawaan sejak kecil. Bayangkan jika ditambah lagi SJKC, SMJKC dan sekolah persendirian. Bermakna semakin kurang bukan Melayu di sekolah kebangsaan. Akan bercampurkah anak-anak kita nanti. Selepas itu, mereka melanjutkan pelajaran di China dan Taiwan. Jenis manusia apakah yang ingin kita lahirkan di Malaysia ini?

Sempena hari raya korban ini, saya menyeru kepada seluruh pemimpin negara tercinta ini supaya melakukan korban untuk kepentingan negara, bukan bangsa, tidak semata-mata pilihan raya. Matlamat utama kita adalah untuk mengekalkan negara berada di tangan umat Islam, terjamin hak dan identiti Islamnya.

Amat jarang berlaku dalam sejarah dunia, identiti negara itu tercabut dek kerana terlalu meraikan orang lain. Boleh berkorban, tetapi jangan sampai agama dan anak bangsa terkorban.


1 comments:

Anonymous,  October 29, 2012 at 9:32 PM  

Terbaik daripada Sr. Ridhuan Tee. Panas hati saya membaca artikel ini.

Post a Comment

  © Blogger template Webnolia by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP