DR RIDHUAN TEE SEMBUR MAT SABU

>> 24 October 2012



Isu komunis bergema kembali apabila berlaku perbicaraan di mahkamah. Memberikan pengikhtirafan kepada komunis sebagai pejuang adalah kenyataan yang begitu menyimpang daripada landasan ilmu. Saya sarankan ahli politik tersebut masuk universiti semula untuk belajar. Lainlah kalau beliau dari kalangan ahli parti ultra kiasu yang memang asalnya adalah komunis.

Inilah akibatnya apabila orang yang tidak pakar, mahu juga bercakap dalam bidang bukan kepakarannya. Akhirnya, semua menjadi haru biru. Apakah benar komunis itu seorang pejuang kerana berjuang membebaskan tanahair ini daripada penjajahan British? Untuk memahami komunis, ia perlu dilihat secara pakej, bukan insiden-insiden tertentu. Jika begitulah keadaan, sayapun boleh katakan bahawa Hitler itu baik dalam beberapa aspek tertentu.

Komunis tidak ada pilihan, walaupun tidak dinafikan bahawa British agak lunak terhadap komunis (PKM) ketika kependudukan Jepun daripada 1941-1945. British terpaksa memperalatkan komunis untuk kepentingannya, menduduki semula Tanah Melayu. British mahu membalas dendam kepada orang Melayu kerana berbaik dengan Jepun dengan menjadi Melayu sebagai polis untuk menangkap Cina (PKM) yang terpaksa lari ke dalam hutan.

Jika ditakdirkan British tidak masuk semula selepas Jepun menyerah kalah akibat pengeboman Nagasaki dan Hiroshima, sudah tentu negara ini di bawah penguasaan PKM. PKM telah menggunakan peluang sepenuhnya, vakum selama 14 hari selepas mengunduran Jepun untuk menguasai Tanah Melayu. Berapa ramai orang Melayu telah menjadi korban dendam komunis. Apakah Naib Presiden PAS lupa?

Nasib baik British segera sampai selepas tempoh vakum tersebut. Akibatnya PKM terpaksa lari semula ke dalam hutan dan membuat kacau. Ada apa lagi pilihan kepada PKM selain menentang British. Menentang British bererti menentang Melayu. Jika British berjaya ditentang, sudah tentu yang menang akan menguasai orang Melayu dan Tanah Melayu. Inilah perancangan komunis yang gagal difahami oleh ahli politik tersebut.

Peristiwa Bukit Kepong (Muar) 23 Februari 1950, adalah pertempuran berdarah antara pihak polis dan Parti Komunis Malaya, selepas darurat diisytiharkan (1948-1960). Pihak Komunis melancarkan serangan gerila ke Balai Polis Bukit Kepong. Peristiwa tragik berakhir dengan penyembelihan berdarah, membunuh hampir kesemua pegawai polis yang bertugas di situ. Pihak PKM mendakwa mereka adalah wira kerana berjaya mengalahkan ‘tali barut’ British (polis Melayu). Muhammad Indera yang mengetuai PKM, bersama Goh Peng Tun dalam serangan tersebut dinobatkan oleh PKM dan Naib Presiden PAS sebagai wira.

Pemikiran komunis sebegini sama seperti mahu mengiktiraf MPAJA sebagai pejuang kerana mereka menentang Jepun untuk kemerdekaan negara ini. Maka tugu peringatan MPAJA dibina di Taman Peringatan Nilai, Negeri Sembilan. Walaupun ditentang oleh banyak pihak, ultra kiasu terus juga membinanya kerana pada mereka MPAJA adalah wira menentang Jepun, seperti komunis menentang British.

Ultra kiasu sengaja lupa bahawa penentangan MPAJA terhadap Jepun, bukan untuk membebaskan Tanah Melayu daripada Jepun, tetapi disebabkan oleh dendam Cina terhadap Jepun dan begitulah sebaliknya. Jepun dan China pernah beberapa berperang sekitar tahun 1890an dan 1937. Dendam kesumat mereka berlarutan hingga ke hari ini. Justeru untuk mengatakan bahawa MPAJA adalah pejuang adalah dangkal sama sekali dan tidak memahami sejarah yang sebenar. Pihak berkuasa tempatan sepatutnya mengambil tindakan terhadap pembinaan tugu tersebut.

Apakah mereka yang menyertai PKM dan MPAJA boleh dinobatkan sebagai wira, sedangkan niat mereka adalah untuk menguasai Tanah Melayu dan membalas dendam terhadap Melayu? Walaupun ketika itu British agak lembut terhadap PKM, bagi tujuan menghalau Jepun, tetapi British tetap mengambil pendekatan memusuhi komunis selepas menguasai Tanah Melayu semula. Kita seolah-olah lupa siapakah yang dikatakan komunis?

Menurut George (1991), di China, sistem komunis yang telah diamalkan selama tidak kurang 50 tahun tidak begitu tertera dalam ingatan dan hati orang Cina seperti sistem nilai yang tertumpu pada keluarga yang lebih lama dan kekal. Pada pandangan generasi muda, sistem komunis ialah satu ideologi yang gagal. Perasaan hampa yang dirasakan oleh ramai orang selepas pembunuhan beramai-ramai di Tiananmen Square pada bulan Jun 1989 telah menyebabkan tidak kurang 50,000-100,000 penduduk China Republik Rakyat China (PRC) meminta perlindungan politik atau hanya terus tinggal di negara-negara Barat dan juga Hong Kong (George, 1991). 

Dalam Muktamar Alim Ulama seluruh Indonesia; yang dijalankan pada tarikh 8-11 September 1957 di Palembang, Sumatera Selatan, Indonesia, yang dihadiri oleh 325 orang Ulama, sebulat suara membuat keputusan bahawa ideologi komunis mengandungi ajaran atheisme dan anti agama. Komunisme dalam bidang sosial menganjurkan pertentangan kelas dan perjuangan kelas. Dalam bidang ekonomi, ia menghilangkan hak perseorangan. Ideologi komunis bukan saja berlawanan dengan ajaran Islam pada khususnya dan agama-agama lain pada umumnya, akan tetapi bertentangan dengan kehidupan beragama. Muktamar tersebut juga memutuskan bahawa ideologi komunis adalah kufur hukumnya dan haram bagi umat Islam menganutnya. Jika ada orang Islam yang menganut ideologi dengan keyakinan dan kesedaran, maka kafirlah ia dan tidak sah menikah dan menikahkan orang Islam, tidak pusaka mempusakai dan haram jenazahnya diselenggarakan oleh orang Islam. Bagi orang Islam yang menyertai organisasi atau parti yang berideologi komunis seperti Partai Komunis Indonesia (PKI), Sentral Organisasi Buruh Seluruh Indonesia(SOBSI), Pemuda Rakyat (PR), dan lain-lainnya, maka sesatlah ia, dan wajib bagi umat Islam menyeru mereka agar meninggalkan organisasi tersebut. Haram hukumnya bagi umat Islam untuk mengangkat atau memilih pemerintah yang berideologi komunis (Abdul Qadir Djaelani, 2000).

Kepada Melayu yang menyertai parti ultra kiasu dan mengiktiraf komunis sebagai wira, bertaubatlah, mudah-mudahan akidah kita terjamin.


0 comments:

Post a Comment





  © Blogger template Webnolia by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP