PKR SABAK BERNAM TAK SETUJU AZIZ BARI JADI CALON

>> 29 October 2012


SHAH ALAM: Ketua Bahagian Umno Sabak Bernam, Datuk Warno Dogol mendakwa terdapat perwakilan Mesyuarat Agung PKR Bahagian Sabak Bernam tidak bersetuju dengan keputusan parti meletakkan Profesor Dr Abdul Aziz Bari bertanding atas tiket PKR di kawasan parlimen itu.

Menurut beliau, maklumat bantahan terhadap bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu disampaikan kepadanya oleh ahli perwakilan PKR sendiri baru-baru ini.

"Kita lihat sendiri dalam Mesyuarat Agung PKR di bahagian Sabak Bernam baru-baru ini ada perwakilan yang tidak bersetuju apabila Aziz Bari akan bertanding di kawasan tersebut," katanya ketika dihubungi.

Abdul Aziz menerusi kiriman emel kepada Antarapos semalam sekali lagi mengesahkan bahawa beliau akan diketengahkan sebagai calon PKR di parlimen Sabak Bernam, tempat kelahirannya.

Katanya, walaupun belum diumumkan secara rasmi oleh kepimpinan tertinggi parti, namun beliau telah diarahkan untuk turun menemui pengundi di kawasan itu sejak awal tahun ini.

Pada pilihan raya umum 2008, Barisan Nasional (BN) menang dengan mempertandingkan Datuk Abdul Rahman Bakri sebagai Ahli Parlimen Sabak Bernam mengalahkan Dr Badrulamin Bahron (PKR).

Warno seterusnya menyifatkan BN Sabak Bernam mampu menangani dengan mudah calon-calon parti pembangkang sekaligus mengekalkan kerusi-kerusi yang dimiliki.

"Siapa pun calon yang diletakkan di Sabak Bernam, Insyallah kita masih dapat mempertahankan kerusi untuk BN.

"Saya yakin dengan kedudukan Barisan Nasional di Sabak Bernam, Insyallah masih lagi mampu untuk mempertahankan kedudukan Barisan Nasional di situ," ujarnya. - antara pos

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Webnolia by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP