PANDANGAN DR. RIDHUAN TEE MENGENAI ROYALTI MINYAK KELANTAN

>> 15 August 2012

Saya merasa amat bersyukur dan menarik nafas lega di atas keprihatinan dan kelembutan Perdana Menteri membentuk jawatan kuasa mengkaji pembayaran royalti minyak kepada kerajaan (raktyat) negeri Kelantan. Sama ada Kelantan layak mendapatkannya, masa akan menentukan. Apa yang penting langkah pertama telahpun bermula.

Langkah ini perlu disambut dengan baik. Buang yang keruh, ambillah yang jernih. Lupakanlah masa lalu, kerana ia tidak akan berulang pada masa kini. Apa yang penting, jadikan masa lalu sebagai iktibar untuk melayari kehidupan hari ini.

Akta Kemajuan Petroleum 1974 yang digubal sewaktu Tun Razak menjadi Perdana Menteri, antara lain menetapkan bahawa Petronas perlu membayar nilai lima peratus setiap tahun daripada hasil petroleum yang diperolehi daripada negeri berkenaan. Akta berkenaan menetapkan bahawa perairan negeri merupakan kawasan yang terletak tidak melebihi tiga batu nautika dari pesisir pantai negeri.

Jika Kelantan memang mempunyai hak tersebut, berikanlah hak itu. Lagipun orang Kelantan itu juga adalah saudara kita semua, walaupun berlainan ideologi. Ingatlah, kita boleh paksa kuda ke tebing, tetapi kita tidak boleh paksa kuda minum air. Janganlah disiksa rakyat Kelantan, hanya kerana mereka memilih PAS.

Sepatutnya, kita mengkaji kenapa rakyat Kelantan memilih PAS, bukan yang lain. Lagipun PAS bukanlah satu ancaman kepada UMNO. PAS hanya memerintah dua buah negeri (Kedah). Apa yang lebih ditakuti adalah kepada ultra kiasu. Walaupun mereka memerintah satu negeri, tetapi satu negeri sudah melambangkan 10 negeri. Begitulah hebatnya ultra kiasu berstrategi. Hujahnya mudah, ultra kiasu terdapat di luar dan di dalam.

Tidak seperti kita, walau memegang di banyak negeri, tetapi kedudukan kita tidak kuat. Kekuatan kita bergantung kepada simpati orang lain. Bayangkan jika kita siksa rakyat Kelantan, Kedah, atau mungkin juga Selangor. Kekuatan umat Islam akan menjadi semakin bertambah sedikit. Ini menjadikan kita semakin bergantung kepada orang lain, yang bersekongkol dengan ultra kiasu. Sudah tentu mereka akan mengambil peluang keemasan ini untuk mendapatkan apa yang belum dapat dan menambah apa yang telah didapati. Apabila semua telah didapati, kita akan dilupakan, percayalah. Itulah sifat kafir harbi.

Saya selalu mengibaratkan antara UMNO dan PAS ibarat carik-carik bulu ayam, akhirnya bercantum juga. Perbezaan antara kedua parti ini tidak banyak. Isunya Cuma untuk mendaulatkan Islam, walaupun sebahagiannya telah terdaulat. PAS rela dibubarkan jika UMNO mendaulatkan Islam, yakni melaksanakan Islam sebagai cara hidup.

PAS sudah jauh berbeza berbanding sebelumnya. Dahulunya boleh dikatakan semua haram. Bertepuk tangan dalam majlis, bertentang muka dengan wanita, nyanyian, muzik dan lain-lain semuanya haram. Hari ini PAS mula terbuka. PAS semakin moderat. Kadangkala, PAS bertepuk tangan lebih kuat dari UMNO, tidak lagi malu bersemuka dengan wanita, terhibur dengan lagu-lagu Aishah dan Dayangku Intan, menerima muzik moden dan sebagainya. Terbaharu, suara wanita tidak lagi aurat dalam menyertai tilawah al-Quran.

Saya melihat ini sebagai perkembangan menarik. Interpretasi PAS terhadap Islam semakin luas dan terbuka. Dahulu agenda negara Islam dan hudud adalah satu kemestian. Sesiapa yang menolaknya kafir belaka. Hari ini sudah tidak lagi, agenda tersebut berada dalam hati, agenda yang lebih besar adalah negara berkebajikan. Apapun yang dimahukan oleh PAS, saya sudah tidak kisah, selagi PAS tidak menghalalkan yang haram. Apa yang penting, PAS tidak boleh bekerjasama dengan ultra kiasu. Ini kerana ultra kiasu adalah kafir harbi. Mereka secara terang menolak Islam.

Saya tidak nafikan parti komponen Barisan Nasional juga menolak Islam. Sebab itu saya tidak mengharapkan mereka. Saya lebih menganjurkan penyatuan antara UMNO dan PAS, bukan PKR. Walaupun PKR parti majoriti Melayu Islam, ia sukar dipercayai. PKR adalah parti cari makan, tali barut dan parti balas dendam.

Seruan saya kepada PAS, sambutlah saranan Perdana Menteri itu. Berbincanglah secara baik dan berhikmah. UMNO mungkin beranggapan, PAS tidak pandai mentadbirkan wang petroleum tersebut. Pada saya, sama ada PAS pandai menggunakan wang tersebut atau tidak, terpulang kepada mereka. Kembali hak kepada yang berhak. Jangan siksa rakyat Kelantan hanya kerana majoriti memilih PAS.

Kadangkala kita tidak banyak pilihan. Jika terpaksa memilih antara pemimpin yang pandai mentadbir, tetapi durhaka kepada Allah dengan pemimpin yang kurang pandai mentadbir, tetapi taat pada Allah, sudah tentu mengikut keutamaan, adalah memilih mereka yang taat kepada Allah. Walaupun ada sesetengah yang berpandangan sebaliknya. Namun, saya tetap meletakkan mereka yang takut kepada Allah sebagai keutamaan. Ini kerana mereka yang taat kepada Allah, mereka tidak akan tersasar jauh. Tetapi manusia yang durhaka kepada Allah, akan durhaka kepada manusia. Inilah nasib yang telah menimpa Hosni Mubarak, Gaddafi dan sebagainya. 

Saya yakin masih ramai orang dalam UMNO dan PAS yang taat dan masih takutkan Allah. Jangan siksa mereka ini. Jika sesuatu berlaku ke atas umat Islam, adakah kita lebih mempercayai Kelantan atau ultra kiasu untuk membantu?

Ingatan saya kepada PAS, jangan terlalu bersangka buruk mengatakan isu royalti ini adalah gula-gula pilihan raya. Sama ada ia gula-gula atau tidak, sudah tidak penting lagi. Semua ini berlaku dengan izin Allah. Jikapun benarpun ini adalah gula-gula pilihan raya, mungkin Allah mahu satukan kita semua ketika pilihan raya. Lagipun, saya tidak nampak UMNO mampu untuk merampas kembali Kelantan daripada PAS sekalipun royalti diberikan. Itupun kelebihan manisnya gula.

Kelantan akan terus berada dalam genggaman PAS sampai bila-bila jika UMNO terus berdolak dalih dalam mempertahankan hak umat Islam untuk menunaikan haknya kepada Allah. Adalah menjadi hak orang Islam untuk mendapatkan cara hidup mereka agar terlepas daripada siksaan Allah. Kembalikan hak itu. Lagipun orang bukan Islam sudah mendapat hak mereka. Kenapa kita harus takut?


0 comments:

Post a Comment





  © Blogger template Webnolia by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP