BLOGGER PEMBANGKANG KATA PAKATAN RAKYAT MESTI MENOLAK AL-QURAN

>> 29 August 2012


DALAM banyak perkara yang disebut tentang polemik hudud yang sedang hangat dibincangkan sekarang, banyak pihak (kalau tidak semua) yang mengaitkannya dengan Al-Quran yang merupakan rujukan utama orang Islam kerana disitulah katanya terletak kewajiban melaksanakan hudud.

Penulis bukan mahu mempersoalkan Al-Quran disini, cuma pada pandangan penulis Pakatan Rakyat tidak memerlukan Al-Quran untuk menentukan polisi pemerintahan negara ini.

Apatah lagi bila sudah disahkan bahawa hudud bukan sebahagian polisi atau agenda Pakatan Rakyat.

Sebagai sebuah komponen dengan penyokong yang terdiri dari pelbagai latarbelakang agama dan keturunan, Pakatan Rakyat mempunyai segala rujukan yang diperlukan untuk menjadikan negara ini jauh lebih sempurna dari pemerintahan Barisan Nasional sekarang, tidak semestinya Al-Quran sahaja.

Pakatan Rakyat juga sudah mempunyai Buku Jingga – rujukan yang jauh lebih lengkap dan tersusun untuk mencorakkan pemerintahan negara ini nanti disamping manifesto pilihanraya yang akan melengkapkan lagi perjuangan untuk membela nasib rakyat.

Rakyat juga mudah meneliti segala perancangan Pakatan Rakyat melalui buku Jingga dibanding dengan Al-
Quran yang hanya difahami segelintir orang, walaupun dikalangan orang Islam – sekurang-kurangnya yang penulis kenal.

Selain dari itu jangan dilupa, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri juga mempunyai pengalaman yang diperlukan untuk memimpin negara ini mengikut acuannya sendiri.

Terpulang kepada beliau untuk merujuk kepada kitab mana satu sepanjang menjalankan fungsinya sebagai Perdana Menteri (termasuk Al-Quran) tapi ianya bukanlah satu perkara yang perlu diheboh-hebohkan, apatah lagi dijadikan dasar kerajaan persekutuan Pakatan Rakyat nanti.

Yang nyata, penggunaan Al-Quran dalam polisi pentadbiran negara hanya akan menakutkan parti komponen lain dalam Pakatan Rakyat seperti DAP yang mempunyai sokongan kuat dari kaum bukan Melayu.

Jangan salah anggap, ini tidak ada kaitan dengan Al-Quran sebagai kitab rujukan orang Islam zaman berzaman, tapi kerana persepsi dan pandangan negara-negara barat yang negatif terhadap Al-Quran yang sering dikaitkan dengan keganasan dan sebagainya telah menjadi punca yang mencetus kepada ketakutan itu.

Selain buku Jingga, adalah lebih baik jika Pakatan Rakyat merujuk kepada standard yang diguna pakai di peringkat global iaitu prinsip-prinsip asas hak asasi manusia seperti kebebasan bersuara, kebebasan media, kebebasan beragama dan seumpama dengannya.

Bebas dalam erti kata sepenuhnya, bukan bunyi saja bebas tapi ada banyak sekatan yang menjadikan kebebasan itu tidak lebih dari hiasan semata-mata, orang kata ‘jangan tidak’ sahaja.

Penulis yakin, negara ini akan lebih berjaya dan makmur serta dipandang tinggi negara luar jika kita berpegang teguh kepada prinsip hak asasi manusia yang selama ini tidak begitu diberi perhatian oleh kerajaan Barisan Nasional sekarang.

Ini hanya sebagai permulaan, jika dimasa depan iaitu setelah Al-Quran ditafsir semula sesuai dengan peredaran zaman, mungkin Pakatan Rakyat boleh memikir untuk menceduk idea-idea yang boleh digunakan untuk memajukan lagi negara ini.

Buat jangka masa yang terdekat, prinsip hak asasi manusia sahaja sudah cukup. - Suara Pakatan Rakyat

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Webnolia by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP