SPR TAK MAHU LAYAN KERENAH PEMBANGKANG

>> 24 May 2013


KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak akan melayan gesaan parti pembangkang untuk berdebat mengenai proses pilihan raya umum ke-13 yang lepas.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, ini kerana tiada keperluan untuk berdebat memandangkan mereka yang tidak berpuas hati dengan keputusan pilihan raya boleh memfailkan petisyen.

"Sebenarnya kami tidak takut untuk berdebat dengan sesiapa kerana kami melaksanakan kerja bersandarkan pada undang-undang dan peraturan tetapi untuk apa SPR perlu bagi publisiti murahan kepada mereka?

"Jika tidak puas hati failkan petisyen pilihan raya melalui saluran yang sahih, bukan dengan ke medan debat atau ke jalanan...SPR punya segala bukti tetapi kami perlu menghormati tempoh 21 hari petisyen," katanya kepada Bernama ketika ditemui baru-baru ini.

Beliau berkata, debat juga akan menyebabkan subjudis berlaku kerana pihak masing-masing tentunya akan berdebat perkara yang terkandung dalam hujah-hujah petisyen pilihan raya.

"Pembangkang hendak sangat tunjukkan pada penyokong mereka kononnya mereka menang debat...dia berdebat nak cari publisiti, nak hujahkan perkara yang dia duk debat di jalan raya tu, walhal sekarang ini waktu petisyen pilihan raya, kita kena hormat undang-undang," katanya.

Dalam pada itu, tindakan seorang pemuda dari Kuantan yang cuba memperlekeh sistem pilihan raya dengan keluar mengundi dua kali, memakan diri apabila lelaki itu boleh dikenakan hukuman di bawah Akta Pilihan Raya.

Wan Ahmad berkata, pemuda itu jelas melanggar dua kesalahan iaitu cubaanmengundi dua kali dan membawa keluar kertas undi yang boleh membawa hukuman penjara, denda dan hilang hak mengundi selama lima tahun, jika disabit kesalahan.

"Saya cukup kasihan dengan budak itu, dia rasa perbuatan dia begitu berani dan seronok sedangkan dia tidak sedar dia diperalatkan oleh orang politik.

"Kalaupun dia menyesal sudah tidak berguna, dia tidak boleh nafikan lagi kerana pengakuannya telah tercatit di bawah aduan polis...inilah akibatnya apabila hendak cuba menipu sistem pilihan raya," katanya.

Beliau berkata, polis perlu menyiasat tuduhan pemuda berkenaan kerana banyakperkara yang diceritakannya adalah tidak masuk akal, wujud persoalan dan bolehdipertikaikan kebenarannya.

"Bagaimana dia boleh masuk untuk mengundi dua kali sedangkan nama telah dipotong dan bagaimana dia dapat bawa kertas undi itu keluar sedangkan banyak mata yang melihat dan proses yang ketat dijalankan bagi memastikan tiada kertas dibawa keluar...ini perkara yang perlu disiasat.

"Ini kes yang menarik, adakah dia berbohong?...SPR cukup berminat hendaklihat apa hasil siasatan polis dan kami akan beri kerjasama pada polis untukmemberikan penjelasan yang diperlukan," katanya.

Sementara itu, Wan Ahmad berkata SPR akan membuat 'post mortem' dalaman yang terperinci untuk melihat kelemahan, penambahbaikan dan perkara-perkara lain yangperlu dikaji.

Beliau berkata, beberapa perkara teknikal yang terlepas pandang seperti teknik menggunakan dakwat kekal yang perlu digoncang setiap dua jam akan turut dijadikan pengajaran.

"Insiden dakwat telah berlaku jadi kami belajar dari kesilapan...kami terlalu fokus kepada menyimpan dakwat di lokasi selamat iaitu di lokap polis dan merahsiakan warna dakwat kerana hendak mengelakkan sabotaj pilihan raya hingga terlupa hendak baca dengan teliti cara penggunaan dakwat itu.

"Kami mungkin juga akan menambah lagi bilik-bilik darjah bagi mengatasi masalah beratur panjang ketika hari mengundi," katanya. - BERNAMA

0 comments:

Post a Comment





  © Blogger template Webnolia by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP