CERITA KABINET: 2 MENTERI CINA TETAP DILANTIK?

>> 12 May 2013


Barisan Kabinet baru Malaysia dijangka dibentuk secara rasmi Rabu ini dengan menteri-menteri yang dilantik akan mengangkat sumpah di Istana Negara di Kuala Lumpur.

Sumber memberitahu Mynewshub, perbincangan akhir mengenai senarai menteri-menteri yang bakal dilantik akan dimuktamad dalam masa terdekat.

“Paling lewat Selasa sudah ada pengumuman siapa yang dilantik untuk penggal seterusnya, mungkin Isnin dah boleh tahu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Antara yang dicadangkan pada peringkat ini ialah perlantikan 2 menteri Cina mewakili MCA dan MIC juga kekal dengan 2 menteri penuh.

“Jawatan untuk wakil MCA tetap akan dibuat memandangkan banyak pihak termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mencadangkan wakil Cina dalam kabinet dikekalkan walaupun kaum itu hampir tidak mengundi langsung Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU) Ahad lalu,” katanya.

Antara yang dijangka ditawarkan jawatan menteri adalah Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai. Beliau adalah Ahli Parlimen Bentong dan merupakan Menteri Kesihatan.

Sekiranya apa yang dicadangkan itu menjadi realiti, maka jumlah menteri dari MCA berkurangan daripada 4 orang menteri penuh sebelum ini kepada hanya dua orang.

Bagi kuota MIC, Presiden parti, Datuk G Palanivel dan Datuk Dr S. Subramaniam akan kekal dalam kabinet baru.

Selain itu menurutnya, penyertaan wakil dari Sabah dan Sarawak juga dijangka adalah yang terbesar dalam sejarah pembentukan kabinet kali ini.

Menurut sumber berkenaan, tiga menteri akan dilantik dari Sabah dan tiga lagi dari Sarawak.

“Jumlah menteri bagaimanapun dijangka kekal seperti sebelum ini (29 orang),” katanya sambil menambah tidak ada kementerian baru akan dibentuk.

Kata sumber itu, salah satu daripada enam yang bakal dilantik dari Sabah dan Sarawak mungkin wanita.

Beliau bagaimanapun menjelaskan awal-awal lagi bahawa Ketua Puteri UMNO yang juga Ahli Parlimen Papar dicadangkan kekal sebagai Timbalan Menteri.

Ketua Wanita UMNO dan BN, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil juga berkemungkinan besar tidak akan dilantik lagi.

Antara Menteri yang dijangka gugur pula adalah Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim (kedua-dua tidak bertanding).

Tempat Rais dicadangkan untuk diisi Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Manakala Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Chor Chee Heung; Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha; Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Tan Sri Bernard Dompok dan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin yang tewas dalam PRU-13 juga dijangka tidak akan dilantik.

Khairy Jamaluddin yang tanpa segan silu menawarkan diri untuk berada dalam Kabinet pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak pula dijangka akan dilantik ke jawatan Timbalan Menteri.

Seorang lagi Timbalan Menteri baru yang dicadangkan adalah Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul rahman.

Najib juga dijangka akan mengurangkan perlantikan Senator untuk mengisi jawatan di peringkat kementerian, kata sumber itu.

“Namun akan ada juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilantik sebagai senator untuk mengisi jawatan Timbalan Menteri,” katanya.

Selain itu, kejutan mungkin berlaku apabila Kementerian Pembangunan Wanita mungkin diterajui Menteri lelaki menurut sumber berkenaan. - mynewshub

1 comments:

cannonkapit May 12, 2013 at 9:51 PM  

Dtk Safiee Afdal dr (UMNO)Sabah wajib dikekal,Dtk Fadillah (PBB) dr Sarawak perlu ditukar ke kementerian lain sbg timbalan menteri,Dtk Salang (PRS) layak menggantikan tempat Dtk Rais,Dtk Douglas (PBB) perlu naik pangkat,dan Dtk Alexander Nanta(PBB) dr Kapit,Sarawak wajar dipertimbangkan oleh DS Najib.

Mana2 calon parti (BN) yg kalah jangan dilantik sbg menteri.

Post a Comment





  © Blogger template Webnolia by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP