KHALID TAK MAHU TURUN KERETA KERANA CERAMAH TIADA SAMBUTAN

>> 26 April 2013


SHAH ALAM: Kempen pilihan raya bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di Kampung Nelayan, Pulau Indah kelmarin, gagal menarik minat penduduk setempat yang hanya dihadiri kira-kira 50 orang.

Khalid yang tiba kira-kira jam 9.30 malam terpaksa mewakilkan Setiausaha Politiknya, Faekah Husin untuk menyampaikan ceramah apabila mendapati sambutan pada majlis itu hambar.

Difahamkan, beliau hanya memerhatikan majlis itu dari dalam kenderaannya.

Walaupun tempoh berkempen sudah tiga hari bermula ketika itu, Khalid dilihat gagal mendapat perhatian penduduk Pelabuhan Klang selepas beliau memutuskan untuk berpindah dari DUN Ijok yang dimenanginya pada 2008 lalu.

Pada majlis itu, Faekah cuba menyakinkan penduduk bahawa Tan Sri Khalid pasti akan membawa kerusi DUN Pelabuhan Klang kembali ke pangkuan rakyat pada PRU13, 5 Mei nanti.

Menurut Faekah, tugas itu merupakan satu amanah yang perlu digalasnya setelah calon yang diketengahkan pada tahun 2008, melompat parti.

“Untuk memastikan rakyat tidak tertipu lagi, maka kita lantik Menteri Besar untuk turun bertanding di sini. Parti tidak memilih saya atau calon lain untuk bertanding di sini.

“Tetapi memilih orang yang cadangkan dan ketengahkan calon katak pada PRU lepas untuk menebus balik kesalahan pada tahun 2008,” ujarnya.

Turut hadir memberi ceramah ialah calon bekas ADUN Sekinchan, Ng Suee Lim, calon Parlimen Klang, Charles Santiago dan juga bekas ADUN Pandamaran, Ronnie Liu yang
digugurkan daripada bertanding PRU kali ini.

“Jangan risau semua di Pelabuhan Klang, Tan Sri Abdul Khalid akan tebus N46 ini untuk rakyat, ini iltizamnya,” tegas Faekah mengakhiri ucapannya.

Pada PRU12 lalu, kerusi Pelabuhan Klang dimenangi calon PKR ketika itu, Badrul Hisham Abdullah yang menewaskan calon BN, Roselinda Abdul Jamil dan calon Bebas Nazir Mansor dengan majoriti 4,440 undi.

Beliau kemudian mengisytiharkan keluar PKR pada September 2009 dan menyertai Umno enam bulan selepas itu.

Pada PRU13 ini, Abdul Khalid akan berhadapan calon BN, Datuk Nasaruddin M. Zin yang juga merupakan Timbalan Ketua Umno Bahagian Klang.

Nasib kedua-dua calon ini bakal ditentukan oleh 39,972 pengundi Pelabuhan Klang. - antarapos

1 comments:

Anonymous,  April 26, 2013 at 3:06 PM  

Di Daerah Klang, Ronnie Liu ditukar nama ke Runnie Liu.

Post a Comment

  © Blogger template Webnolia by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP