HERMAN TINO SEDIH ISTERI TIDAK RESTU JADI CALON

>> 23 April 2013



PETALING JAYA: Penyanyi Herman Tino sedih apabila keputusannya untuk bertanding di Parlimen Tanjung Karang atas tiket Bebas tidak mendapat restu serta ditentang oleh isterinya, Ketua Unit Penerbitan Radio, RTM, Noraini Ibnu.

Herman Tino atau nama sebenarnya Masrun Tamsi, 59, berkata, isterinya yang juga juruhebah di Klasik Nasional kecewa kerana dia mahu mencabar penyandang kerusi Parlimen berkenaan iaitu calon Barisan Nasional (BN) yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar.

"Saya sedih kerana isteri tidak menyokong keputusan saya untuk bertanding pada pilihan raya ini kerana dia tidak bersetuju saya menentang Noh Omar di Parlimen berkenaan," katanya ketika menghubungi mStar Online di sini pada Isnin.

Selain Noh Omar dan Herman Tino, kerusi berkenaan turut ditandingi oleh calon PAS iaitu Mohamad Rashdi Deraman.

Pada Pilihan Raya Umum 2008, Noh menewaskan Mohamed Hanipa Maidin (PAS) dengan majoriti 3,820 undi.

Herman Tino yang popular dengan lagu Yale Yale dan Pelita Dalam Kabus itu memperoleh wang sebagai deposit untuk bertanding selepas dua rakannya menggadaikan kereta mereka bernilai RM10,000.

Herman Tino bersalaman dengan penyandang Parlimen Tanjung Karang, Noh Omar.

Sehubungan itu dia berharap akan mendapat sokongan daripada isteri yang menjadi tulang belakangnya selama ini untuk membantunya berkempen.

"Keputusan ini telah menjejaskan hubungan kami namun saya sangat berharap dia akan menyokong keputusan saya bertanding di Tanjong Karang," katanya.

Herman Tino yang mendapat pendidikan sehingga tingkatan tiga di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Haron di sini akan menggunakan lambang bunga raya pada PRU-13 ini.

Sementara itu, Noraini ketika dihubungi mStar Online bagaimanapun enggan mengulas mengenai keputusan suaminya yang bertanding atas tiket Bebas itu.

“Saya tidak dapat mengulas. Terpulanglah kepada dia (Herman Tino),” katanya ringkas.

Herman Tino bakal menampilkan tiga manifesto kepada masyarakat Tanjong Karang iaitu jambatan kasih sayang, perdamaian politik dan jaga harta benda sebagai bahan kempennya.

Parlimen itu mempunyai 42,410 pengundi berdaftar dengan pengundi Melayu seramai 31,096 orang, Cina (7,043), India (4,158) dan kaum lain (113). - antarapos

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Webnolia by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP