KERETA NO PLAT SINGAPURA BANTU KEMPEN DAP

>> 15 April 2013


Warganegara Singapura diingatkan supaya tidak mencampuri urusan politik di negara ini lebih-lebih lagi bagi membantu mana-mana parti berkempen pada PRU-13.

Menteri Pengajian Tinggi yang juga Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berpendapat, tindakan orang asing mencampuri urusan pilihan raya sesebuah negara adalah tidak patut kerana ia tidak baik untuk hubungan dua negara.

"Berkempen di negara yang mana rakyat Malaysia sedang bekerja dan mempengaruhi mereka untuk mengundi parti yang mempunyai kepentingan mereka adalah tidak betul," katanya.

Mohamed Khaled mengulas kebanjiran kenderaan dari Singapura di bandar raya ini yang dilihat turut berkempen membantu pakatan pembangkang dalam mengajak rakyat negara ini pulang mengundi.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada pemilik kenderaan berkenaan terdiri daripada warga negara jiran atau rakyat Malaysia yang mempunyai taraf penduduk tetap di republik itu.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr. Mohd. Puad Zarkashi pula berpendapat, perbuatan itu tidak wajar dan bertentangan dengan polisi mana-mana negara pun.

"Mereka sepatutnya tidak masuk campur, urusan politik kita biarlah kita sesama kita," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Johor Jaya, Tan Cher Puk mahu pemerintah Singapura menyiasat penduduk negara itu yang menyalahgunakan kenderaan dari republik tersebut untuk berkempen di Malaysia.

"Pemerintah Singapura harus melakukan pemeriksaan ke atas kenderaan yang memasuki Malaysia," tegasnya. - Agenda Daily

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Webnolia by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP