ADUN PKR TINGGALKAN PARTI

>> 09 November 2013


KOTA KINABALU 8 Nov. - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah semakin bercelaru dan tak ubah seperti retak menanti belah.

Terbaru, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Matunggong, Datuk Jelani Hamdan hari ini mengisytiharkan peletakan jawatan Naib Pengerusi 1, Majlis Pimpinan Negeri (MPN) parti itu, berkuat kuasa serta-merta.

Beliau dalam sidang akhbar khas memaklumkan bahawa alasan utamanya membuat keputusan itu ialah kerana mendakwa perjuangan parti itu yang kononnya memperjuangkan hak autonomi dan suara rakyat Sabah hanya sekadar sandiwara semata-mata.

Dakwanya, segala resolusi Buku Jingga untuk Sabah dan Deklarasi Kuching yang antara lain kononnya untuk mendengar denyut nadi orang Sabah hanya tinggal sekadar retorik sahaja, segalanya tidak dimartabatkan pada kedudukan yang sewajarnya.

"Pada 7 Julai 2010, saya memohon menyertai PKR kerana tertarik dengan Buku Jingga dan Deklarasi Kuching iaitu suatu dasar yang fleksibel untuk rakyat negeri ini serta dianggap lebih mesra tuntutan rakyat Sabah, sekali gus saya merasakan sebagai pejuang boleh menyumbang sesuatu untuk parti ini.

"Selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu, segalanya bermula, suara Kadazandusun Murut (KDM) yang merupakan majoriti di Sabah dan PKR bukan sahaja tidak diendahkan, malah kepentingan kami turut disisihkan oleh pimpinan negeri dan Pusat," katanya.

Pada 27 September lalu, ADUN Luyang daripada DAP, Hiew King Cheu mengumumkan keluar parti dan menjadi wakil rakyat Bebas sebelum diikuti Jeremmy Malajad (Kadamaian) pada Isnin lalu.

Tambah Jelani, kemelut PKR bermula dengan pelantikan Lajim sebagai Ketua Pembangkang dan Pengerusi MPN yang tidak dibuat secara mesyuarat dan pengundian terbuka, sekali gus menafikan suara KDM memenangi empat DUN dan satu Parlimen yang merupakan majoriti dalam PKR.

"Datuk Seri Anwar Ibrahim menghubungi saya dan meminta supaya memberi laluan kepada Lajim atas faktor 'kanan' dalam parti dan saya menyanggah kerana Lajim hanya menjadi ahli parti selepas dua hari PRU-13, maka alasan itu langsung tidak boleh diterima.

"Bagi pemilihan MPN, saya juga meminta Anwar melantik dalam kalangan KDM untuk sekurang-kurangnya sebagai timbalan, tetapi tetap tidak dilantik.

Sementara itu, ditanya tentang kedudukannya sebagai ahli PKR, Jelani membuat kejutan dengan mendedahkan bahawa sehingga kini permohonan untuk menjadi ahli parti tersebut masih belum diluluskan sejak 2010.

"Jadi tidak timbul isunya saya keluar PKR kerana saya memang bukan ahli PKR, sehingga kini masih tidak menerima pengesahan sebagai ahli parti oleh Pusat," katanya. - utusan

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Webnolia by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP