INI CARA PAS MAHU BANTU RAKYAT REMBAU?

>> 15 April 2013


Isu tanah adat sekali lagi cuba diputabelitkan PAS Rembau dalam usaha meraih undi warga Rembau. Isu tanah adat yang cuba dimanipulasi PAS Rembau pernah dibincangkan di blog ini (KLIK). Kemudiannya sebuah blog PAS menyiarkan bahawa PAS memberi penyelesaian tanah adat yang mahu dibangunkan menjadi tapak perumahan kos rendah seperti berikut:

1. Pampasan tanah adat oleh kerajaan yang terlalu rendah jika dibandingkan dengan tanah hospital Rembau, iaitu sekitar RM50,000 seekar untuk tanah adat, sedangkan untuk hospital Rembau hampir RM1 juta seekar.

2. Tanah adat yang terbiar ini, dibangunkan sebagai kampung tersusun atau perumahan rakyat yang hanya boleh dibeli oleh pemilik asal tanah adat tersebut, waris-waris mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana dan seterusnya untuk anak tempatan (anak Rembau) di DUN Kota termasuk mereka yang bersemenda.

3. Rumah yang semakin mahal di Rembau, yang menyukarkan anak tempatan untuk membeli, rumah teres 1 tingkat kini berharga hampir RM150,000 di Kundur, Rembau

Ini jawapan yang tidak lengkap yang cuba dikemukakan. Isu tender hospital Rembau dibayar dengan cara pembayaran tanah komersial dan bukannya dengan cara tanah ladang atau tanah terbiar. Harga yang ditetapkan kerajaan negeri adalah RM 16/kaki. Tetapi tanah harga tanah tersebut menjadi isu apabila PKNNS mahu menjual tanah tersebut pada harga RM 22/kaki. Penyelesaian menyaksikan tanah tersebut dijual pada harga RM 18 sekaki atau RM 784 000/ekar setelah melalui proses mahkamah dua tahun (KLIK).

Harga tanah komersial sememangnya jauh beza dengan tanah yang tidak dibangunkan seperti tanah adat yang kebanyakannya terbiar. Tanah komersial dijual mengikut kaki persegi sebaliknya tanah ladang dijual mengikut ekar. Sememangnya wajarlah tanah adat mendapat pampasan RM 50 000 ke RM 100 000 seekar kerana ianya sememangnya harga semasa untuk tanah terbiar atau tanah ladang di Negeri Sembilan.

Seperti projek padi di Kampung Semerbok, tiada bantahan dari penduduk tempatan apabila kerajaan negeri memajak tanah adat untuk dijadikan projek padi kerana ianya sememangnya amat berpatutan dengan harga semasa tanah-tabnah adat yang dipajak. Cuba fikirkan, logikkah sekiranya harga tanah untuk projek pajakan padi dijual dengan harga pajakan RM 20/kaki mengikut harga tapak komersial? Jika begitu berapakah pula harga yang berpatutan untuk beras yang dikeluarkan untuk menampung kos pajakan tanah RM 20/sekaki? RM 30 sekilo?

Kemudiannya cadangan PAS Rembau untuk menjual rumah yang dibina di atas tanah tersebut hanya kepada pemilik asal tanah dan waris-waris adalah satu perkara yang tidak munasabah. Jika begitu projek rumah PPRT yang diperkenalkan kerajaan lebih baik kerana kerajaan sememangnya membina rumah kos rendah dengan bayaran 1/3 (RM 100 sebulan) dari harga rumah kepada mana-mana golongan berpendapatan rendah yang tidak mampu mempunyai rumah tetapi mempunyai tanah.

Kenyataan "boleh dibeli oleh pemilik asal tanah adat tersebut, waris-waris mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana dan seterusnya untuk anak tempatan" nampak putar belitnya apabila dipermulaan ayat dikatakan hanya waris-waris tanah yang boleh memiliki rumah yang akan dibangunkan tetapi diakhir ayat dikatakan anak tempatan. Sekiranya "anak tempatan" boleh membeli rumah tersebut, bukankah ini dimaksudkan dengan sistem komersial di mana semua pihak boleh membeli?

Dan lagi, apabila rumah tersebut didirikan, pastinya berlaku proses jual beli pemilik rumah tersebut dengan mana-mana pihak. Bukankah ini juga menyaksikan proses perubahan pemilikan rumah dan juga tanah tersebut? Bukankah ini juga dikatakan sistem komersial? Dalam keadaan ini bukankah ini yang dimaksudkan sebelum ini bahawa projek yang dikemukan PAS ini hanya sekadar menggadai tanah warisan Melayu?

Tidak dinafikan harga rumah sememangnya mahal di Rembau. Sememangnya keadaan ini menyukarkan warga Rembau untuk memiliki rumah. Kerana itu PM mengambil jalan lain dengan membina lebih banyak rumah kos rendah dalam RMK 10. Malah Barisan Nasional juga berjanji akan membina 1 juta unit rumah kos rendah dalam akujanji yang dinyatakan PM pada minggu lepas. Seperti sedia maklum, kerajaan Barisan Nasional akan mengotakan semua janji-janjinya dan bukannya seperti kerajaan Pakatan Rakyat yang sekadar mampu berjanji tetapi tidak dilaksanakan seperti yang berlaku di negeri-negeri bawah naungan Pakatan Rakyat.

Cadangan saya sebelum ini supaya rumah mampu milik untuk warga Rembau dibina di atas tanah hak milik bebas dan rizab kerajaan adalah lebih baik dari cadangan merapu PAS Rembau yang sememangnya tidak realistik.

Soalan bonus: seandainya rumah cadangan PAS ini dibina dan kemudiannya pemilik tanah ini membeli rumah ini dan tidak mampu menjelaskan bayaran bulanan rumah yang dibeli itu, apakah tanah atau rumah yang akan dirampas? Tolong jawab sikit.

0 comments:

Post a Comment





  © Blogger template Webnolia by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP