CALON PKR BELUM BAYAR SAMAN FITNAH RM 30,000

>> 26 April 2013



Calon PKR DUN Telok Air Tawar, Norhayati Jaafar masih belum membayar saman fitnah RM30,000 kepada bekas Ketua Wanita PKR Pulau Pinang, Aminah Abdullah.

Peguam yang mewakili Aminah, Saiful Ambar Abdullah Ambar, (gambar) berkata selepas perkara itu diputuskan Mahkamah Tinggi di sini pada 27 September tahun lalu, anak guamnya tidak menerima sebarang respons daripada defendan dan menurutnya tempoh untuk membuat rayuan kes itu lama berakhir.

"Kegagalan Norhayati menjelaskan bayaran saman menunjukkan beliau ingkar arahan mahkamah dan tidak menghormati undang-undang," katanya.

Katanya, turut diperintah membayar ganti rugi RM30,000 kepada Aminah ialah Timbalan Ketua PKR Cabang Jelutong, Jab Samad yang dinamakan sebagai defendan kedua dan Setiausaha PKR Cabang Jelutong, Anuar Kamaruddin sebagai defendan ketiga dalam saman itu.

Saiful Ambar berkata, pihaknya sedang dalam proses memfailkan beberapa tuntutan supaya kesemua defendan mematuhi perintah mahkamah supaya membayar ganti rugi kepada anak guamnya dengan kadar segera.

Pada 27 September tahun lalu, Pesuruhjaya Kehakiman Datuk GV Varughese membuat keputusan itu selepas mendapati Norhayati, Jab dan Anuar bersalah mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadap Aminah dalam akhbar Harakah edisi 20-22 Mei 2011.

Sementara itu, Aminah berkata, kegagalan Norhayati membayar saman itu menunjukkan beliau tidak layak dipilih sebagai wakil rakyat di Telok Air Tawar.

"Bagaimana beliau (Norhayati) boleh ada hati bertanding sedangkan beliau terang-terangan suka menabur fitnah dan ingkar pula arahan mahkamah," katanya.

Pada 15 Jun 2011, Aminah memfailkan saman fitnah RM6 juta terhadap ketiga-tiga mereka serta tiga lagi iaitu wartawan Harakah Mohd Sabri Said (defendan keempat), Ketua Pengarang Harakah Ahmad Lutfi Othman (defendan kelima) dan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) sebagai defendan keenam.

Bagaimanapun, Aminah diarah membayar RM15,000 sebagai kos kepada Mohd Sabri, Ahmad Lutfi dan PAS selepas mahkamah menerima pembelaan mereka. - Agenda Daily

0 comments:

Post a Comment





  © Blogger template Webnolia by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP