TAWARAN RM 1,200 KEPADA SESIAPA YANG BERMINAT

>> 07 February 2014


SHAH ALAM: Kemelut video kontroversi Teresa Kok semakin hangat apabila ada pihak yang menawarkan ganjaran sebanyak RM1,200 bagi menampar Ahli Parlimen Seputeh itu.

Tawaran itu dibuat oleh Majlis Jemaah NGO Islam Malaysia yang menyifatkan pemimpin DAP itu kurang ajar dan mencabar kedudukan orang Melayu.

Menurut Sekretariat Majlis Permuafakatan Ummah Malaysia Zulkfli Sharif, tawaran dibuat itu terbuka kepada semua warganegara Malaysia agar penghinaan yang seringkali dibuat Teresa menerima pembalasan.

"Tawaran ini terbuka kepada semua. Maksudnya, siapa sahaja yang dapat menampar Teresa Kok dengan disertakan gambar sebagai bukti, kita akan beri ganjaran sebanyak RM1,200.

"Pada mulanya memang kita hanya tawarkan RM500, namun ganjaran itu dinaikkan sebanyak RM1200 hasil sumbangan ahli kita," katanya yang dipetik The Malaysian Insider.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan jumlah ganjaran tersebut akan meningkat sekiranya ada lagi individu menampilkan diri memberi sumbangan.

Tambahnya, gerakan itu juga tidak menetapkan sebarang tarikh tamat kepada peserta yang ingin menyertai pertandingan tersebut.

"Kita tidak ada tarikh tamat, bila-bila masa sahaja sehingga isu ini reda dan bagi siapa yang berjaya mendapatkan gambar bukti tampar pemimpin tersebut maka boleh hantar ke pejabat kita," katanya.

Terdahulu kira-kira 50 individu menggelarkan diri mereka “Majlis Jemaah NGO Islam Malaysia” bertindak menyembelih dua ekor ayam dan melumur darahnya pada kain rentang yang tertera gambar pemimpin Cina DAP dan PKR sebagai bantahan terhadap penghinaan pemimpin berkenaan kepada majoriti masyarakat Melayu beragama Islam.

Pemimpin yang wajahnya terdapat pada kain rentang itu adalah Teresa, Ahli Parlimen Gelang Patah Lim Kit Siang, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dari DAP dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubuk Lee Khai Loon dari PKR.

Perhimpunan yang dinamakan "Bantahan penghinaan terhadap kepimpinan Melayu, Yang di-Pertuan Agong, dan agama Islam serta maruah Melayu” oleh segelintir ahli politik yang didakwa cauvinis Cina diadakan berhampiran Jalan Tun Perak berdekatan Puduraya, Kuala Lumpur petang ini. - antarapos

0 comments:

Post a Comment





  © Blogger template Webnolia by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP