ULAMA PAS BANTAH PENDIRIAN PAKATAN RAKYAT

>> 18 October 2013


KUALA LUMPUR: Agama-agama lain sama sekali tidak dibenarkan menggunakan kalimah Allah yang jelas hanya eksklusif bagi Islam, tegas Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din.

Katanya, semua pihak diwajibkan untuk faham erti kalimah Allah yang merujuk kepada Tuhan yang Esa (Tunggal) bukannya berbilang-bilang seperti yang dipercayai penganut kristian. 

Justeru, adalah mustahak bagi semua umat yang beragama Islam bangkit dan terus mempertahankan kalimah suci itu.

"Atas itu juga saya mengajak umat Islam sekalian marilah bersama-sama bersyukur kepada Allah kerana sampai sekarang kalimah Allah setelah diperjuangkan sehingga ke peringkat Mahkamah Rayuan dikekalkan hanya untuk Islam.

"Dengan kata lain, kalimah suci ini hanya eksklusif untuk orang Islam sahaja sementara permohonan daripada agama lain, mahkamah tidak membenarkannya," katanya yang dipetik daripada Utusan Malaysia.

Haron mengulas keputusan Mahkamah Rayuan pada Isnin lalu yang tidak membenarkan mingguan The Herald menggunakan kalimah Allah dalam seksyen bahasa Melayu penerbitannya.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Seri Mohamed Apandi Ali yang bersidang bersama Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim dan Datuk Mohd. Zawawi Salleh memutuskan demikian secara sebulat suara selepas membenarkan rayuan kerajaan dan Menteri Dalam Negeri.

Perayu terdiri daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu, Wilayah Persekutuan, Melaka, Johor, Kedah dan Selangor serta Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma).

Keputusan tersebut jelas telah mengetepikan kontreversi Mahkamah Tinggi sebelum ini pada 31 Disember 2009 yang membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh Ketua Paderi Roman Katolik Kuala Lumpur, Tan Sri Murphy Pakiam (responden) agar The Herald dibenarkan menggunakan kalimah Allah.

Haron dalam pada itu meminta semua pihak bersiap sedia kerana dijangkakan pihak gereja bakal mengemukakan rayuan di Mahkamah Persekutuan. 

"Masih ada satu lagi tempat medan perjuangan yang namanya Mahkamah Persekutuan. Mungkin arahan tidak terduga akan berlaku nanti atau mungkin juga Malaysia bukannya medan untuk pertarungan mempertahankan kalimah Allah.

"Sebaliknya hingga ke peringkat Mahkamah Antarabangsa. Mungkin akan sampai ke sana. Apa pun sebagai umat yang faham tentang Islam itu sebagai agama tauhid wajib mempertahankan kalimah suci ini," katanya.

Untuk rekod Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Harun Taib baru-baru ini menyuarakan sambutan baiknya kepada keputusan Mahkamah Rayuan berhubung isu kalimah Allah. 

Jelasnya, keputusan itu tepat sekaligus dapat membendung umat Islam di negara ini daripada terkeliru dengan agenda pihak berkepentingan.

Bagaimanapun kenyataan kedua pemimpin Ulama PAS ini dilihat bercanggah dengan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat (PR) yang menolak keputusan tersebut dan menegaskan kalimah Allah boleh digunakan oleh bukan Islam. 

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Pakatan Rakyat masih mendokong pendirian awalnya bersabit isu itu dan tidak timbul soal PAS mempunyai pandangan lain. - antarapos

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Webnolia by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP