SEKITAR PRK SUNGAI LIMAU

>> 24 October 2013


Sungai Limau terletak di antara dua bandar besar di Kedah, iaitu Sungai Petani dan Alor Setar. Jika berkereta dari Sungai Petani selepas pekan Gurun dan Guar Cempedak, ada simpang dengan papan tanda Sadaka, belok ke kiri, anda telah berada di kawasan pilihanraya kecil N20 DUN Sungai Limau.

Namun dari simpang itu hendak pergi ke Sungai Limau memerlukan lagi 10 kilometer, dengan hanya jalan dua hala, di kiri kanan jalan, terbentang luas tanah bendang, aktiviti ekonomi utama penduduk Sungai Limau.

Ketika bekas ADUN Tan Sri Azizan Abdul Razak bertanding kali pertama di dalam Pilihanraya Umum tahun 1995, DUN Sungai Limau dikenali dengan nama DUN Sala.

Allahyarham merupakan anak tempatan yang dihormati kerana latar belakang akademiknya, beliau merupakan pensyarah kanan di UKM sebelum meletak jawatan untuk bertanding sebagai calon PAS.

Ironinya, kini calon dengan latar yang sama diperkenalkan oleh BN, bekas Naib Ketua Pemuda UMNO Jerai, Dr Ahmad Sohaimi Lazim, pensyarah kanan di Universiti Pendidikan Sultan Idris bakal menggalas cabaran BN dalam PRK ini.

Sohaimi merupakan anak tempatan dan disegani kerana latar belakang akademiknya.

Berdasarkan data yang diperolehi dari sumber BN, pada PRU13 lalu, dari 27,222 pengundi terdapat 93 peratus pengundi Melayu atau 25,333 orang.

Kiranya ini pertempuran di gelanggang orang Melayu, pengundi India hanya empat orang, pengundi Cina hanya ada 1,838 atau 6.7 peratus. 40 peratus dari pengundi Cina adalah golongan muda yang terang terang tolak BN dalam PRU lalu. "BN tidak perlu menjadikan undi Cina sebagai foktor penting atau faktor kemenangan di Sungai Limau, lupakan sahaja dan tumpu undi Melayu habis-habisan,"kata blogger malayrights.blogspot.com, Wan Azri Wan Deris.

Menurutnya, UMNO hanya membazirkan 'sumber' jika berterusan memujuk pengundi Cina yang rata-rata tinggal di bandar besar seperti di Alor Setar, Sungai Petani mahupun Pulau Pinang.

"Jangan ambik kira undi kaum Cina, kalau ada...nasib, jangan taruh harapan..."ujarnya.

Daripada 25,333 pengundi Melayu itu, 30.27 peratus adalah ahli UMNO, PAS (32.58) dan selebihnya, pengundi atas pagar.

Ketika PRU13, PAS menang 13 daripada 19 pusat daerah mengundi. PAS menang di Matang Buloh, Sungai Dedap, Gelam Tiga, Bukit Choras, Bukit Besar, Simpang Tiga Luar, Sungai Limau, Kabu Sepuloh, Sedaka, Ulu Sedaka, Padang Lumat, Batu Enam Belas dan Kampung Titi Batu.

Dari 13 PDM yang PAS menang, dua kubu mereka adalah Bukit Choras dan Bukit Besar. Di Bukit Charas misalnya PAS dapat 458 undi banding BN 81 manakala di Bukit Besar PAS dapat 459 banding 115 BN.

Dalam PRU13 ada dua calon bebas 'kacau daun', Sobri Ahmad dan Abdullah Hashim, mereka tidak dapat sebarang undi di situ.

BN menang di enam peti undi, di Simpang Tiga, Selengkoh, Sungai Daun, Dulang Besar dan kubu BN di Sungai Limau adalah di Dulang Kechil serta Sungai Kering di mana BN menang dengan 406-196 dan 248-70.

Pemilihan Dr Ahmad Sohaimi memberikan beberapa kelebihan kepada BN, selain latar belakang akademiknya, keluarga beliau, juga kedudukannya dalam struktur organisasi parti peringkat bahagian sejak tahun 90-an lagi.

"Dia bekas Naib Ketua Pemuda masa saya jadi Ketua Bahagian Jerai, orang bagus, sesuai untuk tawan hati pengundi Sungai Limau,"kata Pengerusi Tetap UMNO Tan Sri Badaruddin Aminuddin kepada Agendadaily.

Dari cakap-cakap, dengan bawa turun Dr Sohaimi, dari 2,774 majoriti yang dimenangi PAS masa PRU13, UMNO dan 'secure' lebih 700 undi.

"Kita kena kerja siang malam untuk cari 2,000 lagi undi dari mereka yang beri pada PAS masa PRU lalu,"ujar sumber 'bilik perang' BN.

Persoalannya, mana hendak cari 2000 lagi undi... untuk kategori DUN majoriti 2000 undi itu kira besar untuk nak 'kalih' balik dalam masa dua minggu.

Namun BN difahamkan ada strategi sendiri. Strategi di luar kotak...

Ketua Puteri UMNO Mas Ermieyanti Samsuddin memberitahu tumpuan utama sayap Puteri adalah untuk menjejaki 11,000 pengundi muda.

"11,000 pengundi muda ada 5,600 pengundi wanita muda, ini yang kita cari, kita akan kejar untuk jumpa mereka cara bersemuka atau yang tinggal di luar kawasan, kita akan hubungi melalui panggilan telefon,"ujarnya kepada Agendadaily.

Mas Ermieyanti (gambar) merupakan Ketua Puteri UMNO yang menang dalam pemilihan baru-baru ini, beliau berazam mahu memastikan kejayaan BN di Sungai Limau.

"Dulu saya pernah terlibat dengan PRK sebanyak lapan kali, pengalaman dari siri-siri PRK tersebut saya akan jadikan panduan untuk menawan hati pengundi muda kepada BN 4 November ini,"katanya.

Puteri UMNO sendiri menurunkan 500 jenteranya, dari jumlah itu, 350 merupakan jentera tempatan manakala 150 jentera luar.

Kedudukan Mas Ermieyanti sebagai Ahli parlimen Masjid Tanah menyebabkan beliau terpaksa berulang alik sepanjang tempoh kempen di Sungai Limau.

"Timbalan saya, Zahida Zarik Khan, akan sepenuh masa di Sungai Limau untuk membantu melancarkan jentera Puteri UMNO,"ujarnya dalam satu pertemuan di Bilik Gerakan Utama Puteri UMNO di Taman Mahsuri Sungai Limau Dalam.

Sementara itu, ramai yang berpendapat PAS akan melakukan apa saja untuk menang di kawasan yang tradisinya merupakan kubu mereka.

Jika PAS gagal di Sungai Limau, selepas kehilangan Kedah dalam PRU13 lalu, kepimpinan PAS negeri dan pusat, dijangka akan berdepan dengan tekanan dan kritikan ahli sendiri terutamanya menjelang Muktamar Agung parti tersebut November ini.

"Sungai Limau merupakan kayu ukur pencapaian PAS Kedah pasca Azizan, jika mereka gagal untuk menang, maka kedudukan Datuk Mahfuz Omar ssebagai Naib Presiden PAS pasti akan terjajas," kata pemimpin PAS Kedah yang tidak mahu namanya disiarkan.

Mahfuz dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Kedah seminggu selepas PRU13 ketika Azizan sedang koma dan dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang.

Menurut beliau, kini wujud tiga kumpulan dalam PAS Kedah.

Kumpulan Mahfuz, Kumpulan ADUN Anak Bukit Datuk Ir Amiruddin Hamzah dan kumpulan Datuk Phahrolrazi Zawawi.

Amiruddin Hamzah merupakan bekas Exco Kanan kerajaan PAS Kedah dan dikatakan antara penyokong kuat Azizan ketika cubaan 'rampasan kuasa' oleh kumpulan Phahrolrazi yang didokong oleh Mahfuz dan Mohamad Sabu setahun sebelum PRU13.

Azizan dikatakan lebih suka jika kepimpinan PAS Kedah diserahkan kepada Amiruddin berbanding Mahfuz yang sibuk dengan kedudukan beliau sebagai Naib Presiden Parti dan pemimpin pusat.

Selain itu, faktor calon, Azam Samad, yang digembar-gemburkan sebagai 'anak didik' Azizan, kerana kedudukannya selaku Ketua Pemuda PAS Jerai.

Ada bisik-bisik... Azam tidak akan mendapat undi dari kaum keluarga Azizan di Sungai Limau. Ini kerana rata-rata mereka maklum peranan Pengarah PASTI (tadika) PAS Kedah itu ketika konflik yang berlaku antara Azizan dan Phahrolrazi and the geng.

"Desakan kuat dari keluarga allahyarham ustaz Azizan adalah supaya anaknya Muhaimin, diletakkan sebagai calon untuk mewarisi perjuangan bapaknya, namun nama lain yang diumumkan baru-baru ini,"kata sumber.

PAS pada peringkat awal dikatakan menghantar lapan nama calon untuk disenarai pendekkan oleh PAS Pusat.

Sementara itu, bagi Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, BN mempunyai peluang dalam PRK ini yang menyaksikan pertarungan satu lawan satu berbanding pada PRU lepas yang menyaksikan persaingan empat penjuru.

"Walaupun cabaran agak besar. Pada PRU lalu kita kalah dengan majoriti agak besar tetapi ini tidaklah satu perkara yang mustahil untuk kita memperbaiki prestasi kita," jelas Muhyiddin.

Beliau dalam sidang akhbar selepas penamaan calon, Rabu, berkata BN akan terus mengambil pendekatan berhemah sepanjang kempen pilihanraya berlangsung.

"Kita tidak akan membuat tuduhan yang melulu jauh sekali daripada melakukan fitnah. Bagi saya ini adap yang dituntut oleh agama," kata beliau.

Menurutnya, BN akan menggunakan tempoh berkempen untuk menjawab segala tuduhan yang dilemparkan oleh pihak lawan dengan terperinci dan rasional.

"Parti lawan akan mengetengah beberapa isu. Antaranya soal GST, kos sara hidup dan harga padi yang dimainkan di sini, kita akan perjelaskan," ujarnya.

Berdasarkan rekod, nampak PAS ada kelebihan, namun dalam masa sebelas hari ini, apapun boleh berlaku.

Macam cuaca di Sungai Limau ini juga, kejab mendung, kejab cerah dan tiba-tiba hujan panas.

Kata orang kampung, kini musim 'buat bendang' jadi cuaca memang selalu hujan.

Apapun sepanjang sebelas hari kempen ini, walau hujan ribut, jentera parti akan sampai, kempen akan diteruskan, bagi PAS ini persoalan tebus maruah, manakala bagi BN, ini peluang rampas semula kerusi 'tetap' Allahyarham Ustaz Azizan selepas beliau tidak ada. Cuma macam kata seorang ahli strategi BN... "Mana nak cari lagi 2000 undi..." - Agenda Daily

0 comments:

Post a Comment





  © Blogger template Webnolia by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP