MB SELANGOR DITEGUR JARANG JUMPA WAKIL RAKYAT

>> 23 October 2013

 
SHAH ALAM: Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Pakatan Rakyat Selangor menegur Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kerana enggan mengadakan perjumpaan lebih kerap dengan mereka bagi membincangkan masalah rakyat.

Kelab yang dianggotai 44 wakil rakyat Pakatan di negeri ini menyerahkan memorandum itu sebagai teguran terhadap kelemahan pentadbiran Khalid, 7 Oktober lalu.

Memorandum itu berikutan kegagalan Menteri Besar mengadakan mesyuarat bersama BBC setiap dua minggu sekali seperti mana penggal lalu.

Timbalan pengerusinya, Dr Abdul Rani Osman berkata, beliau berharap Khalid dapat mengadakan mesyuarat lebih kerap agar lebih banyak masalah dapat diatasi.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan (Adun) Meru berkata, BBC bukan berhasrat mengkritik pentadbiran Khalid tetapi sebaliknya memberi teguran sebagai penambahbaikan terhadap pentadbiran.

"Mungkin Khalid sibuk kerana baru selesai PRU13 dan banyak perkara beliau perlu selesaikan antaranya berkaitan Exco dan sebagainya.

"Sejak PRU, perjumpaan semakin berkurangan dan kita hantar memorandum bukan tak puas hati tetapi jika ada yang tak betul kita akan tegur," katanya dipetik oleh Sinar Harian.

Sebelum ini, Khalid turut menerima teguran secara terbuka daripada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana dikatakan gagal menguruskan rizab kerajaan negeri dengan baik.

Anwar yang juga Penasihat Ekonomi Selangor, meminta Khalid tidak lagi berbangga dengan lebihan kewangan diperoleh tetapi gagal membelanjakannya dengan baik.

Pengerusi PKR Selangor, Mohd Azmin Ali turut menyarankan agar Khalid mengambil serius teguran Anwar itu demi kepentingan rakyat Selangor.

Rani menegaskan kepentingan mesyuarat dengan pentadbiran Khalid adalah bagi membolehkan wakil rakyat menyampaikan segala aduan dibuat kepada mereka.

Menurutnya, wakil rakyat dapat menyampaikan segala permasalahan yang berlaku di peringkat bawah kepada kerajaan negeri.

Katanya, antara masalah dikemukakan adalah berkaitan sampah, banjir serta jalan raya.

"Aduan-aduan ini semua sampai kepada Adun dan sebab itulah mesyuarat amat penting kerana perkara-perkara ini dapat dibincangkan bersama beliau," katanya.

Beliau mengakui pentadbiran Khalid sememangnya cemerlang kerana berjaya menambah rizab kerajaan negeri dengan begitu mendadak.

Bagaimanapun, katanya, walaupun Menteri Besar mahu wakil rakyat jimat berbelanja, peruntukan yang disalurkan kepada mereka amat kurang.

"Dia kena jelaskan pada BBC kerana sekurang-kurangnya ada komunikasi dua hala. Kita tidak mahu pihak ketiga dan sebab itu kita perlu adakan kembali mesyuarat seperti dahulu agar dapat ajukan segala persoalan, cadangan dan teguran bagi penambahbaikan malah dapat dengar penjelasannya," katanya. -antarapos
 

0 comments:

Post a Comment





  © Blogger template Webnolia by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP