GST: BERSEDIAKAH KITA?

>> 31 October 2013


Kerajaan kini dalam usaha mengkaji aspek-aspek dan faktor-faktor yang diperlukan untuk melaksanakan GST. Dimaklumkan dalam kerajaan akan melaksanakan GST pada bulan April tahun hadapan. Dalam kajian ini semua pihak berkaitan institusi kewangan negara dipanggil untuk memberikan pandangan dan kriteria untuk memastikan kejayaan perlaksanaan GST.

Dalam keadaan ini, kita tertanya-tanya bersediakah rakyat dengan GST?

Maksud persediaan ini mempunyai banyak maksud tersirat. Andainya tidak bersedia, apakah perancangan kerajaan untuk memastikan rakyat bersedia?

Di masa ini rakyat masih terkial-kial untuk memahami apakah itu GST. Dalam keadaan itu juga, sudah ada pihak yang mengambil kesempatan untuk memutarbelit dan mengelirukan rakyat untuk agenda peribadi mereka.

Dalam satu artikel yang ditulis oleh seorang pemimpin pembangkang (peguam yang mengaku pakar ekonomi), Malaysia perlu mencontohi negara Venezuela kerana kerajaan Venezuela tidak melaksanakan GST sebaliknya menyediakan air murah pada harga RM 0.50 sebulan, harga petrol dan gas yang murah dan hidangan sekali sehari untuk rakyat.

Hakikat sebenarnya Venezuela menyediakan kemudahan asas yang murah kerana kadar pengangguran di Venezuela merupakan antara yang tertinggi di dunia (11.3%) dan penduduk yang berada di bawah paras kemiskinan juga agak tinggi. Jadi sememangnya wajar kerajaan Venezuela menyediakan kemudahan asas seperti air RM 0.50 kerana dalam satu laporan kewangan yang ditulis pada tahun 2003, lebih 30% rakyat Venezuela tidak mampu membayar perkhidmatan pemasangan paip asas yang disediakan kerajaan di rumah-rumah kediaman. Kerana itu kerajaan Venezuela terpaksa memberikan pemasangan paip asas percuma dan kadar tarif  air rendah untuk mengelakkan rakyat Venezuela terputus bekalan air bersih.

Untuk mengelakkan rakyat keliru seperti cerita di atas ini amat perlu sekali kerajaan memberikan penerangan yang berkesan kepada rakyat. Penerangan tersebut perlulah mudah difahami kerana bukan kesemua rakyat Malaysia ini mempunyai pendidikan berasaskan ekonomi untuk memahami idea-idea dan hujah-hujah ekonomi yang cuba disampaikan.

Ada khabar mengatakan kadar GST yang akan dilaksanakan adalah sebanyak 4%. Ada pula yang mengatakan bahawa julat cukai antara 4% ke 6%. Ini adalah satu kadar yang perlu dikaji kembali kerana seandainya kerajaan meletakkan kadar yang tinggi sebagai permulaan, di masa akan datang kadar ini akan terus meningkat dan akhirnya dalam masa kurang dari 30 tahun kadar ini akan menjadi terlalu tinggi. Tambahan pula GST dilihat agak sukar untuk diturunkan seandainya dinaikkan kerana ianya mempunyai kesan kepada GDP negara. Mungkin kadar yang sesuai sebagai permulaan adalah 1% seperti yang dilakukan di Pakistan. Dalam pada itu kerajaan juga perlu mengkaji kembali pelepasan cukai sebanyak RM 2000 tersebut untuk mengimbangi kadar GST yang rendah.

Secara peribadi, saya amat menyokong perlaksanaan GST kerana sudah terbukti di negara-negara Eropah yang telah melaksanakan GST sejak tahun 1980 an, ianya terbukti mampu menaikkan GDP negara sebanyak 2% setahun. Malah GST sudah dilaksanakan di hampir 160 negara, jadi Malaysia bila lagi?

1 comments:

Unknown October 31, 2013 at 11:24 AM  

U must be crazy to charge GST at 1%.

Post a Comment





  © Blogger template Webnolia by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP