CEC BARU DAP TETAP ADA PENIPUAN?

>> 01 October 2013

 
SHAH ALAM: Keputusan pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP yang berlangsung dua hari lalu disifatkan sebagai 'Kemungkaran Kalahkan Kebenaran', berikutan telah dirancang oleh pemimpin tertentu bagi memenuhi tuntutan niat jahat mereka, kata bekas Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, Zulkifli Mohd. Noor.

Zulkifli berkata, pemimpin-pemimpin tersebut menggunakan formula '3M' iaitu 'Man, Money dan Media' bagi memaksa perwakilan mengikut arahan untuk memilih 20 calon teratas di peringkat CEC.

"Mereka secara senyap telah mengarahkan perwakilan untuk mengekalkan 'status quo' berkenaan untuk kepentingan peribadi dan seterusnya menyerlahkan slogan 'unity' atau perpaduan," katanya menerusi kenyataan medianya.

Katanya, perwakilan yang kebanyakannya terdiri daripada ahli baru begitu mudah terpengaruh serta percaya dengan strategi penipuan dan pembohongan mereka.

Zulkifli dalam pada itu mempersoalkan tindakan 17 calon bertanding yang menarik diri pada saat-saat akhir menjelang pemilihan semula tersebut.

"Adakah mereka protes atau untuk membantu rancangan jahat, penipuan dan pembohongan pihak tertentu? Setelah berkuasa maka ramailah ahli yang berkedudukan akan mengikut arahan pihak atasan kerana dikhuatiri akan hilang kedudukan atau mata pencarian mereka," katanya.

Dedahnya lagi, taktik kotor pemimpin-pemimpin tersebut juga telah dimulakan sejak awal lagi, bertujuan untuk mensabotaj calon yang 'tidak diingini'.

"Secara keseluruhannya pemilihan semula CEC kali ini dicemari banyak kecacatan dari sudut peraturan dan tidak bersih,"jelas beliau.

Zulkifli adalah salah seorang calon Melayu yang bertanding dalam pemilihan semula jawatankuasa tertinggi parti itu. Namun beliau tewas dengan hanya memperoleh 220 undi.

Lima calon Melayu lain yang bertanding turut tewas iaitu Senator Dr Ariffin S M Omar (441), Ahmad Ton (351), ADUN Mentakab Tengku Zulpuri Shah Raja Puji (441), Solaiman Op Syed Ibrahim (103) dan Roseli Abdul Gani (61).

Manakala seorang lagi calon 'Melayu', Zairil Khir Johari yang juga Setiausaha Politik kepada Lim Guan Eng, adalah satu-satunya calon tunggal 'Melayu' yang berjaya tersenarai dalam CEC, apabila memperoleh 1,132 undi sekaligus membolehkannya menduduki tempat ke-12.

Kesimpulannya, kesemua 20 anggota CEC yang dipilih dalam pertandingan pada Disember lalu mengekalkan 'status quo' mereka dalam jawatankuasa tersebut dalam pemilihan semula dua hari lalu. - antarapos

0 comments:

Post a Comment





  © Blogger template Webnolia by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP