3 NAMA TERSENARAI BAKAL CALON BN UNTUK PRK SUNGAI LIMAU

>> 08 October 2013


KUALA TERENGGANU 8 Okt - Barisan Nasional (BN) Kedah sudah menyenarai pendek tiga nama sebagai calon boleh menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Sungai Limau.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata, calon dikenali pengundi merupakan antara yang bakal dipilih mewakili BN menentang pihak lawan dari PAS.

"Setakat ini kriteria yang kita perlukan ialah calon tersebut dikenali ramai (pengundi)." Ditanya mengenai peluang BN untuk menang PRK itu, Mukhriz berkata: "Kita (ketika ini) hanyalah sebagai `underdog', namun sudah pasti BN akan terus berusaha untuk memastikan kebarangkalian menang itu akan terus meningkat berdasarkan gerak kerja berkumpulan,"katanya kepada pemberita di sini malam tadi.

Semalam, Menteri Besar Kedah itu telah bertemu dengan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi membincangkan berkaitan calon dan persiapan jentera pada PRK Dun Sungai Limau.

Dalam pada itu, Mukhriz menjelaskan, BN Kedah akan menggunakan strategi berbeza dalam kempen Pilihan Raya kali ini memandangkan kini BN sebagai peneraju Kerajaan Negeri Kedah.

Katanya, strategi yang berlainan akan dilaksana kerana BN bukannya bergerak atas platform pembangkang lagi.

"Kita (BN) akan cuba meredakan keadaan yang tegang dan pertembungan yang biasa berlaku dalam mana-mana pilihan raya antara Pas dan BN, supaya tidak menimbulkan masalah kepada kedua-dua parti yang bertanding.

"Penekanan kempen juga tidak lagi kepada perbezaan ideologi antara PAS atau BN, sebaliknya kita akan fokus kepada kebaikan yang kita tawarkan kepada pengundi di Sungai Limau," katanya.

PRK Sungai Limau diadakan berikutan kematian wakil rakyat yang juga bekas Menteri Besar Kedah Allahyarham Tan Sri Azizan Abu Bakar pada 26 September.

Pada pilihan raya umum ke-13, Azizan mengekalkan kerusi itu dengan majoriti 2,774 undi dalam saingan empat penjuru yang turut membabitkan sepupunya, Mohd Fazillah Mohd Ali dari BN. - rakyatnews

0 comments:

Post a Comment





  © Blogger template Webnolia by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP