MESYUARAT EXCO NEGERI SELANGOR DI BANGKOK?

>> 19 September 2013


SHAH ALAM: Tindakan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengadakan mesyuarat Exco negeri di Bangkok dibidas kerana dianggap membazirkan wang rakyat. 

Yang Dipertua Pertubuhan Pribumi Perkasa Selangor (PERKASA), Abu Bakar Yahya, berkata Abdul Khalid perlu memberi penjelasan mengenai maksud tersirat program ‘retreat’ yang bermula semalam dan hari ini.

“Penjelasan itu penting bagi menafikan dakwaan mereka pergi ke sana juga bertujuan menziarahi mendiang Chin Peng, yang mati, Isnin lalu.

“PERKASA Selangor berharap pemergian mereka ini tiada helah lain. Apapun, biar rakyat menilai sama ada benar-benar untuk rakyat negeri ini atau sebaliknya,” katanya. 

Semalam penulis sebuah laman blog mendakwa 18 Exco Selangor termasuk pegawai kerajaan negeri berlepas ke Bangkok dari KLIA kira-kira jam 10 pagi semalam. 

Pengerusi Gerakan Prihatin Rakyat Selangor (GPRS), Datuk Sohaimi Shahadan, berkata tindakan itu langsung tiada keperluan. 

“Tujuan mesyuarat Exco untuk mendapatkan hasil dan tidak semestinya diadakan di luar negara. Apa keperluan untuk bermesyuarat di sana. 

“Abdul Khalid perlu jelaskan kerana sebelum ini beliau mendabik dada kononnya menguruskan belanjawan berhemat. 

“Lawatan seperti ini pasti membabitkan implikasi kewangan kerana pegawai kerajaan negeri juga turut dibawa. Di mana punca kewangan untuk lawatan itu kerana jika tidak, ia pasti dianggap membazirkan wang rakyat,” katanya. 

Sementara itu, sumber di pejabat Menteri Besar Selangor menyatakan, program retreat berkenaan sudah diatur lebih dua minggu lalu dan menafikan lawatan berkenaan mempunyai kaitan dengan kematian Chin Peng. 

“Ia sudah dirancang pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN). Selain Menteri Besar dan Exco, Setiausaha Kerajaan Selangor, Datuk Mohamed Khusrin Munawi, Penasihat Undang-undang negeri, Datin Paduka Zauyah T Loth Khan dan Pegawai Kewangan, Datuk Noordin Sulaiman turut menyertai program itu di sana. 

“Mesyuarat MMKN serta Mesyuarat Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) juga diadakan di sana hari ini (semalam) dan esok (hari ini). Abdul Khalid dijangka pulang ke tanah air esok,” katanya. - antarapos

0 comments:

Post a Comment





  © Blogger template Webnolia by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP