8 KETUA BAHAGIAN DI JOHOR BAKAL DICABAR

>> 12 September 2013

 
JOHOR BAHRU 12 Sept. - Mesyuarat UMNO Bahagian di Johor yang akan bermula tidak lama lagi dijangka menyaksikan sekurang-kurangnya lapan ketua bahagian dicabar oleh pesaing masing-masing bagi jawatan berkenaan.

Selain itu, tujuh UMNO Bahagian di negeri kubu kuat parti itu juga akan mempunyai ketua bahagian yang baharu berikutan keputusan penyandang jawatan untuk tidak bertanding pada pemilihan kali ini.

Bagi UMNO Bahagian Pagoh yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin, Semberong (Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein) dan Pasir Gudang (Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin), dijangka tidak akan ada persaingan bagi jawatan ketua bahagian.

Di antara ketua UMNO Bahagian yang berkemungkinan besar dicabar pada pemilihan kali ini adalah bekas Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd Puad Zarkashi yang juga anggota Majlis Tertinggi UMNO.

Beliau dijangka dicabar bekas Ketua UMNO Bahagian itu dan bekas Ahli Parlimen Batu Pahat, Siam Kasrin yang 'kembali' ke arena politik UMNO bahagian selepas menyepi buat seketika.

Ketua UMNO Bahagian Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed pula bakal dicabar buat kali kedua oleh bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian pada pemilihan bahagian kali ini.

Osman yang dihubungi mengesahkan sedang mempertimbangkan untuk mencabar Ahli Parlimen Pulai itu yang juga anak kepada bekas Setiausaha Agung UMNO, Allahyarham Tan Sri Mohamed Rahmat.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kluang, Radzali Mohd Noor pula telah mengumumkan secara terbuka akan mencabar penyandang ketua bahagian, Mohd. Jais Sarday yang juga ahli Exco Pelajaran dan Pembangunan Usahawan Negeri.

Bagi UMNO Bahagian Simpang Renggam pula, pemilihan ketua bahagian kali ini adalah paling sengit dalam sejarah dengan empat calon dijangka mencabar Datuk Abdul Hamid Abdul Rahman, yang kini menyandang jawatan itu.

Ketua UMNO Bahagian Gelang Patah Datuk Abdul Aziz Sapian pula akan dicabar timbalannya Dr. Zaini Abu Bakar yang juga ADUN Nusajaya serta Setiausaha Politik Menteri Besar Johor, Khairy Malik pada pemilihan kali ini.

Ketua-ketua UMNO Bahagian di Bakri dan Sekijang juga diberitakan bakal dicabar pada pemilihan bahagian kali ini bagi merebut jawatan ketua bahagian.

Kedua-dua mereka, Datuk Saipolbahari Suib dan Datuk Baharum Mohamed bakal menerima tentangan sengit daripada timbalan masing-masing, Datuk Mazlan Sabari dan Datuk Ayub Rahmat.

Bagi persaingan merebut jawatan Ketua UMNO Bahagian Segamat pula, Datuk Othman Jais berkemungkinan akan dicabar Ketua Puteri bahagian, Norshida Ibrahim yang juga ADUN Buloh Kasap.

Sementara itu, beberapa Ketua UMNO Bahagian telah mengumumkan keputusan mereka untuk tidak bertanding kali ini termasuk Tan Sri Syed Hamid Albar (Kota Tinggi), Datuk Baderi Dasuki (Tenggara) dan Datuk Mohd. Ismail Mohd. Shah (Muar).

Ketua UMNO Bahagian Ledang dan bekas Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman dan Datuk Ahmad Zahri Jamil (Parit Sulong) juga tidak akan mempertahankan jawatan mereka kali ini.

UMNO Bahagian Sri Gading pula berkemungkinan akan mempunyai ketua Bahagian yang baharu kerana Datuk Mohamad Aziz dikatakan akan memberi laluan kepada timbalannya, Datuk Abdul Aziz Kaprawi yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan. Umno Negeri Johor mempunyai 26 bahagian. - BERNAMA

0 comments:

Post a Comment





  © Blogger template Webnolia by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP