KEMENTERIAN PENDIDIKAN BERTEGAS TOLAK BANTAHAN DONG ZONG

>> 01 August 2013


Kerajaan akan tetap melaksanakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) pada September ini walaupun mendapat tentangan Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong).

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata tidak ada sebab badan itu harus menentang langkah kerajaan untuk transformasikan sistem pendidikan negara menerusi PPPM kerana ia langsung tidak menggugat kedudukan bahasa Cina.

"Dong Zong baru-baru ini buat konvensyen bantah pelaksanaan PPPM kerana katanya pelan ini nak hapus bahasa Cina. Saya cabar mereka untuk baca setiap inci ayat dalam PPPM, jika ada perkataan kita nak hapuskan bahasa Cina, biar saya jawab... tidak ada.

"Tetapi entah macam mana agaknya ia menghantui mereka kononnya pelan ini suatu hari nanti akan menghapuskan bahasa Cina hanya kerana kerajaan mahu tingkat prestasi bahasa Melayu di sekolah-sekolah kebangsaan.

"Kerajaan hendak tingkatkan mutu pelajaran di sekolah kebangsaan kerana memang sekolah kebangsaan bahasa pengantarnya Bahasa Melayu, jadi salah ke tindakan kerajaan itu," kata Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan.

Bernama melaporkan beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis berbuka puasa dan penyampaian bantuan zakat kepada golongan asnaf di Surau Saadiah, Batu Satu Bakri di Muar Rabu.

Majlis turut dihadiri isteri Timbalan Perdana Menteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman dan Pengarah Urusan Uda Holding Ahmad Abu Bakar.

Muhyiddin berkata pelan itu juga tidak mempunyai niat terselindung terhadap pengajaran bahasa lain dalam sistem pendidikan negara walaupun ada yang menganggapnya demikian.

Sehubungan itu, katanya sebagai kerajaan bertanggungjawab terhadap usaha membela perjuangan bahasa Melayu, pelan tersebut akan tetap dilaksanakan tanpa rasa terganggu, tergugat dan takut sedikitpun.

Kerajaan mahu semua kaum tidak kira Melayu, Cina, India, Orang Asli dan kaum pribumi Sabah dan Sarawak masuk ke sekolah kebangsaan demi perpaduan kaum selaras dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan sekolah kebangsaan sebagai sekolah pilihan utama di negara ini, tegasnya.

Timbalan Perdana Menteri berkata jika Malaysia tidak memberikan tumpuan kepada bidang ilmu, negara akan terus mundur dan tidak mampu bersaing dengan negara-negara maju yang lain di dunia. - AgendaDaily

1 comments:

ST4Jasin August 1, 2013 at 10:25 AM  

Salam Perjuangan,
Mohon jasa baik tuan blog ini dapat pautkan blog kecil kami di blog anda.
http://st4jasin.blogspot.com/
Terima kasih.

Post a Comment

  © Blogger template Webnolia by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP