ULAMA PAS TETAP TIDAK SETUJU BUKAN ISLAM GUNA KALIMAH ALLAH

>> 09 January 2013


PETALING JAYA: Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Harun Taib tegas dengan pendiriannya sebelum ini bahawa penggunaan kalimah Allah khusus untuk orang Islam dan penganut agama lain tidak berhak untuk menggunakannya.

Penegasan itu sekaligus bercanggah dengan pendirian pakatan pembangkang pada Selasa seperti diumumkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa kalimah Allah boleh digunakan oleh bukan Islam tetapi tidak wajar disalahguna oleh pihak lain terhadap masyarakat Islam sehingga menimbulkan kekeliruan.

Namun demikian menurut Harun pula, penggunakan kalimah Allah merupakan soal akidah umat Islam yang perlu dipertahankan dan penganut agama lain termasuk Kristian harus dilarang sama sekali daripada menggunakan kalimah itu dalam apa jua keadaan.

"Bukan Islam tak boleh guna (kalimah Allah) sebab mereka tak percaya kepada Allah. Perkataan 'God' dalam Bible bermaksud Tuhan. Kalau mereka kata mereka juga percaya kepada kewujudan Allah, maka dengan sendirinya mereka tak boleh menggunakan Bible, kena guna al-Quran.

"Kalau mereka percaya kepada kewujudan Allah, maka berimanlah kepada Allah. Mengapa masih menganut Kristian," katanya kepada mStar Online di sini, Rabu.

Selain itu menurut Harun, penggunaan kalimah Allah dalam Bible dikuatiri akan merosakkan akidah generasi akan datang.

"Sekarang mungkin tak timbul masalah, tapi masa depan macam mana? Kalau Kristian pun pakai kalimah Allah iaitu nama tuhan orang Islam...ia akan menimbulkan kecelaruan. Ini sangat bahaya," tegasnya.

Menerusi sidang media khas pakatan pembangkang pada Selasa, Abdul Hadi berkata Pakatan Rakyat mempertahankan keputusan dua tahun lalu untuk membenarkan kalimah itu digunakan penganut agama lain.

Katanya, Islam tidak menghalang penganut agama lain menggunakan kalimah itu dalam amalan mereka walaupun tidak mencapai maksud asal seperti dalam al-Quran.

Sementara itu Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah membuat ketetapan bahawa kalimah Allah yang khusus untuk umat Islam tidak boleh digunakan di negeri itu oleh mana-mana agama bukan Islam.

Polemik penggunaan kalimah Allah muncul semula apabila Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam perutusan Krismas pada 24 Disember lalu menggesa kerajaan membenarkan penggunaan kalimah itu dalam Bible bahasa Melayu memandangkan ia dibenarkan di Sabah dan Sarawak sejak 50 tahun lalu. - The Star

2 comments:

Anonymous,  January 9, 2013 at 5:55 PM  

Bagaimana dgn Ustaz Harun Din
Sya berharap ustaz tegas dalam soal ini. Semoga kita dipihak yang benar

Abangpi,  January 9, 2013 at 6:52 PM  

Saya mula menghormati ulama ini.

Post a Comment

  © Blogger template Webnolia by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP