BEKAS AHLI JAWATANKUASA BERSIH 1.0 SERTAI UMNO

>> 11 January 2013


KUALA LUMPUR 11 Jan. - Bekas Ahli Jawatankuasa BERSIH 1.0 Syamsul Hidayat telah mengisytiharkan secara rasmi menyertai UMNO setelah merasakan Pakatan Rakyat telah membawa perjuangan palsu terhadap rakyat.

Beliau yang juga merupakan Mantan Timbalan Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (PKR) itu menegaskan, keputusan tersebut juga atas faktor penolakan beliau terhadap pendirian Pakatan Rakyat yang gagal melaksanakan manifesto Pilihan Raya yang dijanjikan sebelum ini malah berlaku ketidaktelusan dalam mengurus tadbir di beberapa buah Negeri yang dikuasai komponen parti pembangkang tersebut.

"Saya melihat parti ini (PKR) tidak memperjuangkan apa yang mereka laung-laungkan dalam ceramah dan dalam kempen propaganda mereka.

"Perjuangan mereka hanyalah semata-mata berkempen untuk merealisasikan impian Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri," katanya kepada pihak media selepas menyerahkan borang keahlian kepada Timbalan Ketua UMNO Bagan Serai Dato' Sha Mat Sahat disaksikan oleh Ketua Penerangan UMNO Datuk Ahmad Maslan di sini semalam.

Turut serta mengikuti jejak langkah beliau termasuklah bekas Ahli AMK Setiawangsa Mohamad Asroc Jailani dan bekas Peguam kepada Ketua Wanita PKR Pulau Pinang Saiful Ambar Bin Abdullah Ambar.

Dalam pada itu, Syamsul turut mengecam penganjuran Perhimpunan Kebangkitan Rakyat yang bakal dianjurkan Pakatan Rakyat pada Sabtu ini.

Katanya, penganjuran perhimpunan sebegini merupakan satu sandiwara yang tidak memegang prinsip perjuangan yang dilaung-laungkan pimpinan parti itu

"Ini adalah merupakan siri-siri aktiviti propaganda mereka, tidak ada satu pun pegangan atau perjuangan yang betul-betul mereka perjuangkan.

"Saya rasa sejarah itu berulang, kali ini mereka tahu tahun PRU ke13 akan diadakan maka secepat mungkin mereka mengadakan perhimpunan yang lebih kurang sama pada PRU ke12 cuma namanya saja yang ditukar.

"Ia satu perhimpunan untuk menunjukan bahawa mereka ramai sokongan untuk menumbangkan UMNO dan BN." jelasnya.

Perhimpunan Kebangkitan Rakyat yang akan diadakan pada pada 12 Januari ini hanya mahu menutup segala kelemahan Pakatan Rakyat. - klpos

0 comments:

Post a Comment





  © Blogger template Webnolia by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP