MAJORITI BERSUARA BENCI KUMPULAN PAK SAMAD

>> 05 September 2012

Inilah ketuanya

KUALA LUMPUR: Perbuatan memijak gambar pemimpin negara serta mempamerkan bendera baru kononnya pengganti kepada Jalur Gemilang menunjukkan ketidakmatangan penyokong pembangkang dan menambahkan kebencian rakyat kepada mereka. 

Penolong Pentadbir Tanah Pejabat Tanah Kuala Muda, Kedah Ahmad Fayadh Abdul Manap, berkata insiden itu tidak patut berlaku meskipun rakyat di negara ini bertentangan haluan politik. 

"Rakyat harus sedar bahawa pemimpin negara dipilih oleh mereka sendiri melalui sistem demokrasi. Sebagai rakyat kita harus hormat kepada pemimpin dan sama sekali tidak wajar untuk kita memperlakukan pemimpin negara seperti itu. 

"Berhubung isu mempamer bendera lain sebagai pengganti kepada Jalur Gemilang, mereka ini harus sedar bahawa Jalur Gemilanglah lambang kemegahan kita dan bendera yang selama ini menyatukan rakyat Malaysia yang majmuk di bawah satu payung negara," katanya kepada Bernama. 

Insiden memijak gambar pemimpin negara dan meminta Jalur Gemilang diturunkan serta digantikan dengan bendera lain berlaku pada malam sambutan ambang merdeka di Kuala Lumpur, Khamis lalu. 

Ahmad Fayadh berkata, kumpulan yang bertindak demikian perlu memuhasabah diri mereka dengan menilai peranan dan tanggungjawab besar yang perlu dipikul oleh pemimpin negara yang sekian lama bertungkus lumus membangunkan Malaysia. 

Sementara itu, guru Pendidikan Khas Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Serting, Jempol, Nurhayati Zainudin berkata sebagai seorang pendidik beliau kesal dengan tindakan individu dewasa terbabit yang jelas mempunyai mentaliti rendah. 

"Kenapa perlu pijak gambar pemimpin negara terutama ketika rakyat gembira dengan sambutan Hari Merdeka? Golongan ini mempunyai mentaliti yang sangat rendah dan tidak boleh berfikir dengan rasional atas tindakan mereka. 

"Negara dah capai kemerdekaan selama 55 tahun dan kita rakyat hidup dalam keadaan rukun dan damai... tidak kisahlah kita sokong parti politik mana, apa yang utama tidak sepatutnya kita menggunakan pendekatan secara tidak matang seperti itu," katanya. 

Nurhayati berkata, perbuatan itu juga sama sekali tidak menggambarkan bahawa masyarakat negara ini sudah merdeka dari aspek pemikiran selain masih gagal membezakan antara kepentingan ideologi politik dan kepentingan negara. - BERNAMA 

0 comments:

Post a Comment





  © Blogger template Webnolia by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP