MAJLIS PERBANDARAN JANGAN JADI EJEN SABOTAJ RAKYAT

>> 29 September 2012


Saya mendapat maklum balas dari segelintir peniaga Ampangan berkenaan arahan yang dikeluarkan Majlis Perbandaran Seremban (MPS) sempena lawatan PM ke Seremban esok. Isu ini berkenaan peniaga-peniaga Pasar Malam Ampangan yang tidak berpuas hati kerana diarahkan menutup gerai dan dilarang sama sekali berniaga di tapak mereka di Ampangan. 

Pasar malam tersebut beroperasi pada hari Jumaat sekitar waktu 4 petang hingga 10 malam. Pasar malam tersebut dikelolakan oleh Persatuan Gerak Bumi Seremban (PGBS). Seperti yang diketahui juga, pasar malam tersebut telah beroperasi selama lebih 20 tahun.

Pada hari mesyuarat antara PGBS dan MPS pada minggu lalu, MPS mengarahkan PGBS agar menutup operasi pasar malam sempena lawatan PM ke Seremban. Ini kerana seperti yang diketahui, lokasi Pasar Malam tersebut hanya bersebelahan dengan lokasi tapak program lawatan PM.

Perkara ini menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan peniaga kerana mereka tidak dapat mencari pendapatan. Maklumlah, ada di kalangan mereka yang berniaga seminggu sekali dan betul-betul mengharapkan pasar malam pendapatan dari perniagaan seminggu sekali itu untuk menampung keluarga.

Semasa mesyuarat, PGBS telah menyatakan perkara tersebut banyak kali tetapi pihak MPS dilihat masih berkeras. Pelbagai alasan diberikan MPS tetapi kesemuanya tidak munasabah.

Pada petang tadi saya sempat menjengah ke lokasi pasar malam. Peniaga-peniaga pasar malam dilihat berkeras dan tetap berniaga.

Seharusnya pertelagahan ini boleh diselesaikan dengan cara yang lebih baik dan berhemah. Program PM hanya berlangsung pada esok hari. Manakala pasar malam beroperasi pada malam ini. Jadi dimanakah perselisihan antara kedua-dua acara ini?

Seperti yang dilaporkan peniaga, pihak MPS juga gagal mengeluarkan pekeliling mengarahkan agar pasar malam ditutup. Arahan hanya dikeluarkan secara lisan. Jadi wajarkah arahan ini dipatuhi?

Janganlah kerana terlalu ghairah menyambut kedatangan PM segelintir rakyat terpaksa berputih mata. Seharusnya MPS bersikap lebih matang dalam menyelesaikan situasi ini di masa hadapan.

0 comments:

Post a Comment





  © Blogger template Webnolia by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP