AZMIN AISKRIM KATA KHALID GAGAP MB BERMASALAH

>> 28 September 2012


KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali mempertahankan S. Manikavasagam sebagai pemimpin yang berjasa selepas Ahli Parlimen Kapar itu menyelar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar yang bermasalah.

Azmin yang juga Ketua PKR Selangor berkata aduan Manikavasagam terhadap kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar Selangor itu harus diperhalusi demi mencari penyelesaian yang memuaskan.

"Perkara ini harus dihalusi. Aduan harus diteliti dengan melihat kepada tanggungjawab jabatan dan kerajaan untuk mencari jalan penyelesaian,” kata beliau.

Azmin yang sebelum ini dilaporkan mempunyai hubungan renggang dengan pejabat Khalid berubah nada kali ini dengan mempertahankan Menteri Besar itu daripada tuduhan-tuduhan Manikavasagam.

Tuduhan-tuduhan itu berpaksi kepada dakwaan Khalid jarang turun padang untuk menyelesaikan masalah rakyat yang bertimbun seperti banjir dan pemberian hak milik tanah kepada penduduk kampung.

Manikavasagam yang juga Pengerusi Biro Aduan PKR turut kesal kerana sejak dua bulan lalu kerajaan negeri gagal memberikan peruntukan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk disalurkan kepada golongan kurang upaya.

Beliau juga kecewa kerana Khalid tidak meluangkan masa untuk berjumpa dengannya walaupun Kapar adalah kawasan Parlimen terbesar di Selangor dan menghadapi pelbagai masalah yang belum diselesaikan.

Azmin berkata keluhan Manikavasagam bahawa beliau hanya diberikan tiga minit untuk berjumpa dengan Khalid bagi menyuarakan masalahnya harus dilihat dalam konteks yang betul. 

“Itu pertemuan peribadi di antara seorang pemimpin dengan pemimpin yang lain jadi saya tidak boleh mengulas mengenai pertemuan itu,” kata beliau.

"Yang penting, MB memberi peluang kepada semua pimpinan dalam Pakatan Rakyat untuk bertemu dengan beliau untuk menyampaikan pandangan dan nasihat serta cadangan. Mungkin pertemuan itu singkat, tetapi boleh disusuli dengan nota, memorandum yang boleh disusuli dan diteliti oleh Menteri Besar dan jabatan berkenaan,” tambah beliau.

Setiausaha Perhubungan PKR Negeri Shuhaimi Shafiei akur wujudnya tuduhan terhadap Khalid bahawa beliau tidak meluangkan masa cukup untuk berjumpa dengan wakil rakyat.

Namun beliau mendakwa ia adalah masalah lampau yang sudah diperbetulkan.

"Saya pernah ada dengar sebelum ini tetapi yang baru-baru ini tidak ada. Saya ingat ini adalah isu tiga tahun dulu sekarang tidak ada isu ini.

"Kita bermesyuarat hampir setiap minggu dengan MB jadi apa juga isu rakyat boleh dibangkitkan setiap minggu," kata beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Muda.

Dalam wawancara dengan Antarapos, Manikavasagam membayangkan pemimpin negeri tertentu termasuk Khalid tidak menyukainya kerana lantang bersuara mengenai masalah rakyat.

Justeru beliau perlu bersedia menghadapi kemungkinan digugurkan sebagai calon bagi PRU ke 13 namun bertekad tidak akan lompat parti.

Bagaimanapun Azmin berpendapat Manikavasagam harus dikekalkan kerana mempunyai rekod perkhidmatan yang cemerlang.

“Kita belum lagi membuat keputusan muktamad tentang mana-mana individu sama ada terus kekal atau digugurkan. Namun saya percaya YB Mike boleh membantu kerajaan dan parti untuk terus mengangkat martabat kaum India di Selangor dan seluruh negara,” kata Azmin.  - Antara Pos

0 comments:

Post a Comment





  © Blogger template Webnolia by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP