MARKAS BN DISERANG!

>> 17 July 2012


SURA UTARA – “Saya kesal dengan apa yang berlaku, ia menggambarkan tahap pemikiran sempit pihak tertentu yang tidak sepatutnya berlaku pada zaman moden ini,” demikian kata Penolong Setiausaha Umno Cawangan Sura Jetty, Kemaruddin Hamid berikutan kejadian bendera dan kain rentang dipercayai dirosakkan individu tidak bertanggungjawab di Markas Barisan Nasional (BN) di sini, jam 1.30 tengah hari semalam.

Kejadian luar dugaan itu dipercayai dilakukan seorang individu tidak dikenali yang datang dengan sebuah motosikal berwarna biru, sebelum mengamuk lalu merosakkan bendera BN yang terpacak pada tanah selain kain rentang dan pintu gerbang.

Menurut Kemaruddin yang juga Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Sura Utara, beliau mendapat tahu berita itu selepas dihubungi seorang ahli Umno.

Kemaruddin berkata, sebaik menerima maklumat, dia bergegas ke lokasi tersebut dan mendapati beberapa tiang bendera BN yang terpacak di pekarangan Markas BN itu tumbang, selain kain rentang terkoyak dan pintu gerbang turut dirosakkan.

Menurutnya, markas itu ditubuhkan oleh ahli Umno Sura Utara awal Januari lalu sebagai persiapan untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang dan kejadian itu amat dikesalinya.

“Kita tidak menuduh sesiapa, namun sebagai ahli parti, kita kecewa perkara seperti ini masih wujud dalam masyarakat.

“Jika benar individu tidak berkaitan tidak suka dengan kekuatan parti kita, biarlah mereka berentap secara ‘gentleman’ dalam pilihan raya nanti, jangan ada provokasi sebegini,” katanya.

Sementara itu, seorang saksi yang melihat kejadian berkenaan, Rosita Samad, 31, berkata, ketika kejadian dia berada di dalam rumahnya yang menjadi tempat markas BN itu.

Menurut Rosita, seorang penunggang motosikal secara tiba-tiba datang ke lokasi berkenaan lalu mengeluarkan kata-kata kasar lantas mengamuk, sebelum mengoyakkan kain rentang berlogo dacing dipasang di situ.

“Lelaki itu juga turut mencabut beberapa batang tiang bendera yang terpacak selain merosakkan pintu gerbang.

“Saya terpinga-pinga melihat tingkah lakunya yang luar biasa itu, sejurus kemudian dia terus berlalu pergi,” katanya.

Rosita berkata, ketika lelaki terbabit mengamuk, dia tidak berani menghalang kerana takut dicederakan lelaki berbadan gempal itu.

Sementara, itu Ketua Umno Cawangan Sura Jetty, Che Harun Che Ismail mengesahkan pihaknya akan membuat satu laporan polis agar siasatan terperinci dapat dilakukan untuk mengheret pihak terbabit ke muka pengadilan. - Sinar Harian

0 comments:

Post a Comment





  © Blogger template Webnolia by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP