KISAH MELAYU MENGGIGIT MELAYU

>> 17 July 2012


Terdapat pihak-pihak yang cuba mengambil kesempatan ke atas kesibukan dan peluang perniagaan orang Melayu semasa bulan Ramadhan. Di bulan Ramadhan yang juga dikenali sebagai bulan penuh keberkatan tetapi ada pihak yang lebih mementingkan keberkatan poket sendiri dari kebajikan sesama insan.

Di Ampangan harga untuk tapak Pasar Malam Ramadhan yang dikelolakan oleh kesatuan penduduk meletakkan harga yang tidak munasabah untuk peniaga-peniaga. Tapak berukuran 8 kaki kali 8 kaki berharga RM 1 500 manakala tapak untuk 15 kaki kali 15 kaki berharga RM 2 500.

Tapak tersebut sememangnya habis terjual tetapi persoalannya bukankah harga tapak itu terlalu mahal? Bahkan jika dibandingkan dengan sewa lot kedai di kawasan sekitar, harganya lebih murah.

Pihak pengelola meletakkan harga yang tinggi kerana mereka tahu bahawa peniaga-peniaga tidak mempunyai pilihan kerana dalam Negeri Sembilan tidak sampai 10 buah Pasar Malam Ramadhan yang wujud.

Berbanding pada tahun-tahun lepas, harga tapak tersebut semakin meningkat. Malah ianya sama sekali bertentangan dengan konsep kerajaan untuk membantu peniaga-peniaga kecil. Ini kerana seperti diketahui penyewa-penyewa tapak Pasar Malam Ramadhan terdiri dari peniaga-peniaga kecil Melayu. Bukankah dengan harga sebegini amat membebankan mereka?

Permasalahannya kesatuan penduduk lebih mementingkan poket sendiri dari kebajikan para peniaga. Para peniaga ini belum tentu lagi berniaga untung atau rugi tetapi janganlah diambil kesempatan ke atas mereka. 

Saya melihat perkara ini sebagai satu bentuk permulaan kapitalis. Dengan harga tapak yang semakin meningkat, selepas ini pastinya peniaga-peniaga besar sahaja yang melobi tapak Pasar Malam Ramadhan tersebut  dan pastinya peniaga-peniaga kecil akan tersisih kerana tidak mampu menampung kos yang tinggi.

Malah semakin menyakitkan hati apabila segala janji seperti kawalan lalu lintas dan tempat meletak kenderaan hanya tinggal janji. Manakala peniaga yang terpaksa menggigit jari sekiranya pengunjung tidak hadir untuk membeli-belah.

Dari sumber juga mengatakan elaun yang diterima kesatuan penduduk hasil dari penjualan tapak berkenaan amat tinggi. Elaun untuk pengerusi sahaja mencecah RM 7 000! Elaun sahaja sudah lebih tinggi dari gaji pegawai kerajaan!

Jadi saya memohon agar kerajaan negeri campur tangan demi mengelakkan peniaga-peniaga kecil ini diperkotak-katikkan oleh pihak-pihak yang suka mengambil kesempatan. Saya juga percaya perkara ini juga berlaku di banyak tempat di kawasan yang lain. Jadi sebelum peniaga-peniaga kecil ini "bungkus" atau "tutup kedai", ada baiknya kerajaan negeri mula bertindak.

0 comments:

Post a Comment





  © Blogger template Webnolia by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP