PESAN DR RIDHUAN TEE: PUAK RASIS MEMBAWA AGENDA TERTENTU MELALUI MAKANAN DAN HIBURAN

>> 18 June 2012


Seorang pembaca bernama Razali, meminta saya menulis mengenai agenda ultra kiasu melalui makanan, kerana mulai 1 Julai 2012, di bawah Seksyen 16 Akta Perihal Dagangan 2011 (APD2012), pengusaha yang tidak mempamerkan logo halal, yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan diberi amaran, sebelum tindakan denda dan penjara dikuatkuasakan.

Semua pihak maklum, banyak insiden yang disengajakan, telah berlaku seperti penemuan gelatin (minyak) babi, kaki katak dan sebagainya dalam makanan. Ini tidak termasuk soal sembelihan, halal haram dalam muamalat dan aspek kehidupan seharian lain. Sebenarnya, tajuk sebegini pernah saya kupas sebelum ini. Apakan daya, lebih 70 peratus pengeluar makanan adalah orang bukan Islam. Inilah akibatnya apabila umat Islam tidak menjadi pengeluar, semata-mata menjadi pengguna. Memang sukar untuk kita mendapatkan sumber dan makanan yang benar-benar halal jika umat Islam tidak menguasai ekonomi.

Ultra kiasu amat licik, untuk melariskan produk makanan mereka, berbagai strategi digunakan, termasuk memperalatkan atau memberi nama-nama berbunyi Melayu (Islam), mempergunakan pekerja Melayu (terutama Indonesia) dan sebagainya. Hak mereka sebagai seorang Islam, misalnya untuk bersolat, langsung tidak pedulikan. Pada mereka, solat merugikan perniagaan. Maka tidak hairanlah ramai pekerja-pekerja umat Islam sudah hilang jati diri, kerana hati mereka sudah mati, kerana semakin hari semakin berjauhan dengan Pencipta.

Lebih menyedihkan, ada beberapa kedai mamak telah dibeli mereka. Mereka masih mengekalkan nama-nama berunsur keMelayuan dan keIslaman untuk menarik pelanggan. Sedangkan makanan yang disaji belum pasti halal atau tidak. Mereka juga sanggup berkahwin dengan orang asli, untuk mendapatkan lesen, tanah dan sebagainya. Setelah semuanya didapati, habis manis, sepah dibuang. Apa yang tidak membawa hasil akan ditinggalkan. Sebab itu, saya mempertikaikan semangat patriotisme mereka.

Saya tidak pasti apakah ramai yang buta hatinya ada kaitan dengan makanan yang tidak halal. Kadang kala saya merasa amat pelik, kedai makanan atau kopitiam mereka, bukanlah hebat sangat. Hanya kerana ada stail, bergaya, dan ada standard, kita sanggup duduk berjam-jam dalam kedai mereka menghabiskan wang ringgit.

Contohnya, kopitiam kopi putih bandar lama, masih ramai orang Islam yang makan di situ tanpa segan silu. Kopi putihnya tidaklah seberapa. Beli sahaja dikedai, minum di rumah bersama keluarga. Bukankah lebih baik? Kebetulan terbaca artikel Dr. Mark Hyman (7 Jan 2011), seorang pakar perubatan dan penulis hebat, makan minum di rumah boleh menyelamat dan memanjangkan nyawa berbanding makan di luar.

Kita selalu mengadu tidak banyak masa untuk memasak. Tetapi penyelidikan di Amerika membuktikan bahawa banyak masa dihabis dengan menonton rancangan memasak daripada memasak untuk diri sendiri dan keluarga. Dalam siri Food Revolution, Jamie Oliver mengatakan, kita sedang mendidik generasi akan datang yang tidak akan mengenal sayur, buah dan tidak tahu memasak. Katanya lagi, I believe the most important and the most powerful tool you have to change your health and the world is your fork.

Menurut Hyman, kanak-kanak yang mendapat makanan yang cukup bersama keluarga lebih berjaya atau mendapat keputusan baik di sekolah dan hubungan kekeluargaan lebih akrab. Selain itu, penyelidikan menunjukkan 42 peratus kurang berkemungkinan untuk minum arak, 50 peratus kurang merokok atau mengambil ganja, 66 peratus kurang merokok.

Untuk memulakannya, Hyman menasihatkan kita semua supaya masak dan makan di rumah dengan memeriahkan dapur. Penuhi dapur dan peti sejuk dengan buah-buahan tempatan dan makanan segar dan mengurang makanan manis dan berlemak.

Makan di rumah sebenarnya amat dituntut oleh Islam, kerana di situ ada keberkatan. Bayangkan jika sambil memasak makanan berkhasiat kita berdoa dan berzikir. Tidakkah semua ini sudah cukup membuktikan kajian barat itu. Masalahnya kita tidak mahu lihat keberkatan itu. Kita lebih melihat glamour. Kita telah terperangkap dengan agenda ultra kiasu. Akhirnya hati menjadi hitam.

Saya menasihatkan umat Islam, jika teringin sangat untuk makan di luar, masih banyak lagi kedai orang Islam. Negara kita adalah syurga makanan. Carilah yang halal tanpa was-was. Dari segi kaedah, umat Islam perlu membantu sesama sendiri dahulu. Baharulah membantu orang lain. Ini tidak, saudara sendiri, entah ke mana. Bab orang lain begitu beriya-iya. Siapa yang salah sebenarnya? Kita juga. Kita tidak mempercayai sesama sendiri. Kita lebih mempercayai orang lain.

Sebelum ini kita biasa mendengar berita serbuan Jakim dan pihak berkuasa ke atas restoran yang menggunakan loga halal palsu, ramuan yang haram dan sebagainya. Tapi kebanyakan kita buat tidak kisah. Sedangkan kita tahu ini agenda ultra kiasu untuk mengaut keuntungan dan menghitamkan hati kita? Lebih menyedihkan jika ada pihak berkuasa yang melindunginya. Kita akan menyesalkan suatu hari nanti.

Ingatlah, pengusaha makanan ultra kiasu sanggup menggunakan taktik yang keji semata-mata untuk menjatuhkan perniagaan orang Islam. Penternak ayam ultra kiasu sanggup menurunkan harga ayam di bawah paras siling agar penternak ayam Islam mengalami kerugian dan tidak berupaya bersaing. Namun, apabila pengeluaran ayam berlebihan, penternak ayam ultra kiasu sanggup membakar anak-anak ayam hidup-hidup demi untuk mengawal harga.

Hari ini, ultra kiasu melancarkan kempen di alam maya untuk memboikot KFC (disebabkan insiden ultra kiasu kurang ajar) dan juga kempen memboikot roti Gardenia. Mereka sudah ada syarikat roti ultra kiasu. Bacalah dalam laman web, bagaimana kempen kotor ini berjalan. Sama juga dengan konsert nasyid yang melibatkan penyanyi antara bangsa yang akan berlangsung 16 Jun ini. Semua sponsor konsert tersebut terdiri dari syarikat Islam. Yang peliknya event managementnya adalah syarikat seratus peratus tidak Islam. Persoalan saya, tidak adakah orang Islam professional yang boleh menjadi event management, sehingga terpaksa mengambil ultra kiasu?
 
 

0 comments:

Post a Comment





  © Blogger template Webnolia by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP