REJIM KHALID GAGAP HANYA PEJAM MATA DENGAN MASALAH PENDUDUK MERU?

>> 16 March 2012


MERU: “Kami beri masa sebulan kepada kerajaan negeri untuk menyelesaikan isu bunyi bising dan habuk kilang simen yang terletak kurang 50 meter dari rumah penduduk.

“Jika kerajaan negeri gagal berbuat demikian, kami akan mengadakan demonstrasi aman di depan pintu pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK),” itulah amaran yang diberikan penduduk, S Hassan Kuthoos Syed Ahmad Kaber, 38, berhubung pencemaran berpunca daripada sebuah kilang simen di Taman Daya Maju dan Taman Daya Meru, di sini, semalam.

Penduduk tidak tahan hidup dalam keadaan tidak selesa disebabkan habuk dan bunyi bising yang dikeluarkan sebuah kilang simen sejak tahun 1990-an lagi. Katanya, masalah pencemaran itu sejak dari 2008 sehingga kini dan masalah semakin meruncing sehingga membahayakan kesihatan penduduk.

“Tahap kesihatan kebanyakan penduduk terjejas dan sering diserang penyakit seperti asma dan batuk.

“Jika dibiarkan masalah ini berlarutan, dikhuatiri pelbagai lagi penyakit akan menyerang penduduk dalam jangka masa panjang,” katanya.

Tambah rumit apabila lori dari kilang simen dan kilang berhampiran turut melalui kawasan berkenaan mengundang bahaya terutama kepada kanak-kanak.

Beliau berkata demikian sewaktu melakukan demostrasi di hadapan kilang simen berkenaan yang dihadiri kira-kira 50 penduduk dari kedua-dua taman perumahan.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Daya Maju, Muhamad Haswar Ewan berkata, pihaknya sudah menghantar pelbagai aduan kepada pihak bertanggungjawab sejak 2008.

“Namun aduan itu seolah-olah tidak diendahkan dan dipandang sepi kerana sehingga kini tiada sebarang tindakan yang diambil.

“Kami sudah hantar pelbagai surat kepada Majlis Perbandaran Klang, Jabatan Alam Sekitar Selangor, Pejabat Tanah dan Galian Selangor semenjak 2008, tetapi tiada tindakan diambil pihak berkenaan,” katanya.

Haswar berkata, pihaknya pernah dihalang pekerja ketika ingin berjumpa dengan pemilik kilang itu.

“Kami pernah bersemuka dengan pemilik kilang itu dan pemilik kilang itu pernah berjanji akan memindahkan operasi kilangnya.

“Namun janji tinggal janji dan pemilik kilang itu sehingga kini gagal memindahkan operasi kilangnya,” katanya.

Katanya, pihak bertanggungjawab perlu mengambil tindakan yang tegas mengenai isu ini secepat mungkin bagi mengelak kejadian yang tidak diingini berlaku. - Harian Metro

1 comments:

Najihah Nordin March 11, 2013 at 10:28 AM  

salam sejahtera.. boleh x saya nak tau kilang simen ni masih beroperasi atau tidak. sebab saya buat kajian mengenai habuk simen terhadap penduduk sekitar.

Post a Comment





  © Blogger template Webnolia by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP