MUSTAFA ALI MASIH ENGGAN AKUI PAS SUDAH GOYAH

>> 22 December 2011



KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, menafikan dakwaan bekas Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Ali, bahawa parti itu sudah goyah dan tidak mendapat sokongan akar umbi lantaran dasar parti yang kerap diubah. 

Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan golongan atas pagar mulai berasa sangsi terhadap objektif perjuangan parti itu. 

Bercakap kepada pemberita di sini hari ini, Mustafa berkata dasar mengutamakan Islam yang didokong oleh PAS tidak pernah berubah dan ahli parti faham mengenai perkara itu.

"Islam adalah dasar PAS dan tak pernah berubah, tapi pendekatan berubah, strategi berubah. PAS bekerjasama dengan parti yang lain tak salah, dasar tetap sama tapi pendekatan saja lain," katanya. 

Kelmarin, Hasan berkata beliau mempunyai fakta dan bukti bahawa masyarakat yang selama ini menyokong PAS mula mempersoal dan bercadang menarik diri daripada memberi sokongan kepada parti itu kerana landasan utama perjuangan parti sudah dikesampingkan. 

Di KOTA BAHARU, Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang juga Mursyidul Am Pas, menafikan dakwaan Hasan bahawa konsep negara berkebajikan yang kini diperjuangkan oleh parti itu menyebabkan PAS tersasar daripada perjuangannya. 

Nik Aziz berkata, idea negara berkebajikan itu sama sekali tidak menggelincirkan PAS daripada landasannya bahkan lebih mendekatkan masyarakat kepada perjuangan parti itu yang bercita-cita mendaulatkan Islam dalam sistem pemerintahan. - BERNAMA 

0 comments:

Post a Comment





  © Blogger template Webnolia by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP